Penganggur rugi RM22,840 terpedaya tawaran kerja palsu

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang penganggur mengalami kerugian RM22,840 selepas terpedaya dengan tawaran kerja palsu di laman sosial pada Rabu lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 33 tahun telah melihat tawaran kerja berkenaan di akaun Facebook dan menghubungi nombor tertera di laman sosial itu pada jam 3.30 petang ketika berada di rumahnya di Air Putih di sini.

Menurutnya, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai Evon dan menyatakan minatnya untuk melakukan kerja-kerja promosi dan penjualan produk yang ditawarkan.

"Suspek memaklumkan mangsa akan diberikan komisen sebanyak RM600 terhadap barangan yang ditempah dan diberikan satu aplikasi 'Isalebiz' untuk membuat tempahan 60 barangan dengan menggunakan wangnya sendiri.

"Mangsa juga dimaklumkan wang miliknya akan dikembalikan semula berserta komisen dan keuntungan daripada penjualan produk secara terus ke dalam akuannya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya bersetuju dan membuat pembelian sebanyak RM600 sebagai permulaan.

Jelasnya, hasil daripada penjualan melalui aplikasi Isalebiz itu, mangsa telah memperoleh komisen sebanyak RM182 dan mangsa mula yakin dan membuat pembelian berskala besar bagi memperoleh lebih banyak komisen.

Tambahnya, mangsa kemudian telah memasukkan wang sebanyak RM22,840 ke dalam empat akaun berbeza menerusi lima transaksi secara dalam talian sebelum diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM8,640 bagi mendapatkan semua wang dan serta komisen itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun mangsa tidak membuat sebarang pembayaran kerana sudah tiada wang dan suspek memaklumkan jika gagal berbuat demikian wang dan komisen mangsa tidak akan dipulangkan semula.

"Mangsa bagaimanapun merasakan dirinya telah ditipu suspek dan tampil membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuantan pada Sabtu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," jelasnya.