Anwar lantik Lee Boon Chye jadi pengerusi sementara PKR Perak

Anwar mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Sabtu. -Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Anwar mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Sabtu. -Foto: Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dilantik sebagai pengerusi sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, sehingga menunggu pemilihan parti selesai, April ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelantikan Ketua Cabang Gopeng itu adalah bagi menggantikan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Cabang Kuala Kangsar.

Menurutnya, ketetapan parti meletakkan bahawa melantik pengerusi hanya dalam kalangan ketua-ketua cabang.

"Satu sesi mesyuarat bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak telah diadakan hari ini.

"Mesyuarat ini telah memuktamadkan beberapa perkara antaranya dengan melantik Dr Lee Boon Chye sebagai Pengerusi Sementara MPN Perak sehingga tamat pemilihan parti yang akan selesai pada akhir April depan," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebooknya pada Sabtu.

Mesyuarat berkenaan diadakan di Damansara, Selangor pada Sabtu.

Dalam kenyataan itu, Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Farhash Wafa Salvador yang telah membantu memantapkan parti di negeri Perak.

Beliau menasihatkan pimpinan parti Perak untuk terus fokus serta menumpukan segala usaha dan keringat terhadap memantapkan jentera parti bagi mendepani pilihan raya umum kelak.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan bekas Timbalan Menteri Kesihatan itu menamatkan spekulasi calon utama yang yang disebut menggantikan Farhash Wafa Salvador.

Antara calon yang disebut sepertimana dilaporkan media ialah Ketua Cabang Teluk Intan, Muzaffar Shah Khairuddin dan Ketua Cabang Tambun, Muhammad Arafat Varisai Mahamad.

Farhash Wafa Salvador yang juga bekas setiausaha politik Anwar sebelum ini mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Gombak yang kini disandang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pemilihan PKR yang dijadual berlangsung pada April depan.