Inilah CSR Najib, sedekah kepada diri sendiri: Muhyiddin

Muhyiddin, Najib
Muhyiddin, Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dibelanjakan Datuk Seri Najib Tun Razak jelas tidak bermaksud untuk tujuan sedekah atau tanggungjawab sosial koporat (CSR).

Sebaliknya, beliau mendakwa dana berkenaan digunakan oleh Najib atas tujuan peribadi dan politik.

“Ya, adalah juga duit yang diberi kepada anak-anak yatim, tetapi jumlahnya tidak seberapa jika dibandingkan untuk kegunaan peribadi dan politik.

“Ini tidak termasuk RM4 bilion duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC yang lesap entah ke mana.

“Akhirnya, kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada KWAP kerana hutang ini dijamin oleh kerajaan ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati Najib merampok syarikat SRC daripada wang KWAP, iaitu wang rakyat, wang orang pencen,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah disabitkan bersalah oleh mana-mana mahkamah walaupun Najib berkali kali menuduhnya sebagai pengkhianat.

“Dia juga tanya saya berapa wang yang saya belanjakan untuk rakyat? Sepanjang saya jadi PM, RM530 bilion saya sediakan untuk rakyat dalam macam-macam bentuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, satu sen pun tak masuk akaun saya.

Artikel Berkaitan:

“Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri. Itulah dia bos awak,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut berkongsi rekod Najib yang didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berhubung kes SRC menyatakan bahawa, oleh yang demikian, mereka bersetuju dengan Yang Arif hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting penyalahgunaan harta yang diamanahkan oleh perayu (Najib) telah dibuktikan.

“Bukti menunjukkan dengan jelas bahawa perayu bukan hanya menyalahgunakan RM42 juta, iaitu mauduk tiga dakwaan jenayah pecah amanah tetapi juga telah memindahkan kepada kegunaan dirinya sendiri harta yang dia telah salah guna secara tidak jujur.

“RM42 juta itu, berlawanan dengan dakwaan perayu bahawa dia menggunakannya untuk tujuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, telah sebenarnya digunakan untuk manfaat peribadinya dan untuk tujuan politiknya.

“Ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan sebagai telah dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, (yang ada) hanyalah keaiban negara,” katanya.