Beri nilai tambah kepada calon

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kanan: Mujibu
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kanan: Mujibu
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan memberi nilai tambah bahawa mereka boleh dipercayai dan bebas daripada rasuah.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ujian itu juga boleh memberikan gambaran bahawa mereka terpilih bukan sahaja disebabkan berkebolehan tetapi bersih dan bebas daripada sebarang isu-isu yang berkaitan integriti dan rasuah.

“Kalau diperhatikan memang ini satu perkara revolutionary kepada mana-mana parti bertanding.

“Salah satunya kita mungkin boleh perhatikan kepada peningkatan kecenderungan kepada pengundi yang mahukan isu integriti, amanah dan rasuah itu menjadi sebahagian daripada tawaran calon-calon bertanding.

“Kalau Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu jadikan ujian psikometrik ini sebagai salah satu kewajipan bagi calon mereka, saya rasa ini satu tindakan yang bagus, calon yang berpotensi untuk bertanding itu boleh memberikan satu lagi nilai tambah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada 1 Februari lalu, Bersatu sedia benarkan bakal-bakal calon yang bertanding pada PRN Johor mengambil ujian RBTag sekiranya ia dilaksanakan.

Pada Khamis pula, individu yang berpotensi dinamakan sebagai calon mewakili Pejuang pada PRN Johor diwajibkan menjalani ujian RBTag.

Mengulas lanjut, Mujibu turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjadikan ujian RBTag sebagai satu kriteria tambahan kepada calon yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia bukan sahaja dapat menapis awal calon terbabit tetapi juga dapat meyakinkan pengundi untuk turun mengundi.

“Ini kerana mereka tahu bahawa calon itu bukan hanya sekadar menjadi wakil rakyat tetapi bersih dan berintegriti yang dihantar menjadi wakil.

“Kalau boleh, mewajibkan ujian ini adalah satu perkara yang baik ataupun setidak-tidaknya memberi galakan dan insentif kepada mana-mana parti bagi membolehkan mereka juga mengambil ujian ini kepada setiap bakal calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya,” ujarnya.

Mujibu berkata, isu integriti, amanah dan rasuah adalah aspek utama yang semakin banyak dilihat oleh pengundi buat masa kini.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk dilakukan dan kita patut bagi kredit kepada mana-mana parti yang mahu mengadakan ujian psikometrik kepada calon.

“Ini juga menunjukkan mereka benar-benar komited dan juga konsisten dalam melawan rasuah,” jelasnya.