MAIPs peruntuk lebih RM7 juta untuk Bantuan Persekolahan 2022

Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs 2022 di Dewan Serbaguna, SSTP JPN di Padang Behor, Kangar pada Rabu.
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs 2022 di Dewan Serbaguna, SSTP JPN di Padang Behor, Kangar pada Rabu.
A
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan zakat untuk Bantuan Persekolahan 2022 sebanyak RM7,257,000 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM4,333,000.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agihan berkenaan akan memberi manfaat kepada 12,095 pelajar merangkumi 6,713 pelajar sekolah rendah dan 5,382 pelajar sekolah menengah di seluruh Perlis.

Titah baginda, jumlah itu tidak termasuk penerima daripada kalangan pelajar sekolah agama rakyat yang akan turut disalurkan bantuan secara berasingan.

"Setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM600 yang akan disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 111 buah sekolah," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs, Tahun 2022 di Dewan Serbaguna, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Padang Behor di sini pada Rabu.

Hadir menyambut keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil adalah Pengarah JPN, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bantuan terbabit merangkumi RM200 pembelian pakaian sekolah dan alat tulis yang akan diuruskan oleh pihak sekolah iaitu Muraqib Amil.

"RM100 untuk sumbangan tunai dan RM300 untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh pengurusan sekolah melalui kerjasama PIBG dengan saranan oleh pihak JPN," titah baginda.

Artikel Berkaitan: