Premis disita, pengusaha pusat jagaan akan didakwa

Kesemua 14 pintu rumah kedai dikenakan tindakan lak.
Kesemua 14 pintu rumah kedai dikenakan tindakan lak.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Premis disita manakala pengendali pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi tanpa kebenaran akan didakwa 21 Mac ini berhubung ketiadaan perakuan pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Undang-undang JKM Malaysia, Ahmad Rashid berkata, tindakan itu berdasarkan Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) iaitu menjalankan operasi pusat jagaan kanak-kanak tanpa perakuan pendaftaran.

“Ia berdasarkan kesalahan mengikut seksyen tersebut dan jika disabit kesalahan boleh dihukum bawah Seksyen 5(2) iaitu dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan selama lebih dua tahun atau kedua-duanya

"Kesalahan melibatkan tidak berdaftar. Jika sekiranya kita mengendalikan pusat jagaan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga warga emas dan orang kurang upaya, perakuan pendaftaran JKM mengikut Akta 506 ini perlu diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai operasi lak (seal) pusat berkenaan di Pekan Baru, pagi tadi.

Operasi disertai lebih 60 anggota penguat kuasa dari pelbagai jabatan termasuk JKM, Jabatan Agama Islam, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah serta beberapa agensi lain itu selesai kira-kira sejam setengah.

Ahmad Rashid ketika selesai operasi menyita premis terbabit.
Ahmad Rashid ketika selesai operasi menyita premis terbabit.

Menurutnya, tindakan menyita merangkumi premis 14 pintu rumah kedai yang menempatkan pejabat, asrama, ruang dapur, bilik dobi, bilik mandi dan bilik warden.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum tindakan sitaan, kita telah masuk dan semak untuk pastikan bahawa tiada lagi penghuni yang ada di premis ini. Kita dapati bahawa kesemua premis telah dikosongkan setakat ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, lak hanya boleh ditanggalkan dalam masa 21 hari di mana pengendali mengemukakan perakuan pendaftaran pusat jagaan atau pengendali memperolehi perintah mahkamah supaya berhenti menggunakan bangunan atau premis sebagai pusat jagaan.

“Sekiranya gagal kemuka permohonan, lak ini akan berterusan bergantung keputusan dari mahkamah,” katanya.

Katanya, permohonan pernah dibuat pusat jagaan itu,namun apabila diminta mengemukakan dokumen sokongan, pihak terbabit gagal berbuat demikian sehingga satu tempoh lama menyebabkan tindakan perlu dibuat.

Biarpun premis kosong, namun masih terdapat beberapa barangan seperti kasut sekolah milik penghuni pusat jagaan.
Biarpun premis kosong, namun masih terdapat beberapa barangan seperti kasut sekolah milik penghuni pusat jagaan.

Beliau menjelaskan, hasil siasatan mendapati sebahagian besar kanak-kanak mempunyai keluarga dan pihak pusat jagaan hanya perlu menghantar semula anak-anak kepada keluarga masing-masing.

“Pihak pusat jagaan mengatakan mereka perlu cari premis untuk sewa. Sebenarnya tak perlu ,sebab anak-anak hendaklah dihantar semula kepada keluarga.

“Sekiranya ada anak yatim kita akan selamatkan mereka dan tempatkan di tempat perlindungan JKM, namun ketika operasi hari ini, tiada kanak-kanak di premis ini,” katanya.

Beliau dalam masa sama menasihati orang awam agar memadamkan video yang tular sebelum ini yang memaparkan tulisan ‘211 anak yatim fakir miskin diarah kosongkan penempatan’ selain memaparkan keadaan kanak-kanak yang menangis apabila diberi arahan mengosongkan premis.

Tindakan lak (sita) membabitkan lebih 60 anggota penguat kuasa.
Tindakan lak (sita) membabitkan lebih 60 anggota penguat kuasa.

“Nasihat saya agar semua video berkaitan minta dipadam dan tak disebar kerana sebelum tindakan ini dilakukan, semua aspek telah diambil kira termasuk atas kebajikan kanak-kanak, orang ramai dan mereka yang menderma kepada pusat ini,” katanya.

Semalam, Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh melalui sidang media menjelaskan tindakan pengosongan dibuat kerana ia beroperasi tanpa kebenaran selain mengesahkan hanya 11 daripada 211 kanak-kanak di pusat jagaan berstatus anak yatim.

Ismail juga memohon orang ramai berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan kisah sedih yang tular melalui video bertujuan meraih simpati, sebaliknya perlu menyemak kesahihan terlebih dahulu.