Integriti, tadbir urus penjawat awam jadi isu hangat

Mohd Zuki
Mohd Zuki
A
A
A

PUTRAJAYA - Integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam termasuk agensi penguatkuasaan menjadi isu hangat yang sering diperkatakan pada masa kini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, meskipun berita yang disampaikan itu mungkin tidak betul atau masih dalam siasatan namun impak kepada imej perkhidmatan awam amat besar.

"Sebagaimana kita sedia maklum, skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia bagi tahun 2021 ialah sebanyak 48 dengan kedudukan ke-62 daripada 180 buah negara," katanya dalam ucapan Majlis Amanat KSN di sini pada Jumaat.

Menurutnya, ketua jabatan dan seluruh penjawat awam diharap dapat melipatgandakan usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

"Integriti ini ialah sesuatu yang melibatkan tiga perkara dalam diri kita.

"Pertama akal, kedua nafsu dan ketiga ialah perbuatan sama ada melalui lidah atau tangan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya akal gagal mengawal nafsu, lidah dan tangan akan bermaharajalela.

"Lalu terjadilah pencabulan integriti dalam diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zuki berkata, perkara itu jika dibiarkan akan menjadi barah yang merebak ke seluruh organisasi.

"Akhirnya perkhidmatan awam kita ini dipandang hina dan jelek oleh masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semua penjawat awam terus istiqamah dan beriltizam menyampaikan perkhidmatan terbaik dan berintegriti.

"Saya juga ingin menyeru agar kita semua terus kekal mengamalkan penjagaan kendiri dan sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan agar kita semua terlindung daripada wabak Covid-19 yang masih belum reda," katanya.

Pada 26 Januari lalu, impian Malaysia untuk bebas dari gejala rasuah semakin sukar untuk dicapai apabila kedudukan negara dalam CPI merosot ke tangga 62 berbanding tahun sebelumnya, 57 daripada 180 negara.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, markah dan pangkat CPI Malaysia tersebut jelas menunjukkan negara langsung tidak mencapai kemajuan yang diharapkan.