Akmal Nasrullah kesal kos PRN Johor telan belanja RM96 juta

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir melahirkan rasa kesal dengan pengumuman anggaran kos Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menelan belanja sebanyak RM96 juta.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kos tersebut tidak termasuk PRN Sabah sebanyak RM140 juta dan PRN Melaka berjumlah RM40 juta.

Katanya, jika dicampur kos ketiga-tiga PRN telah menelan belanja sebanyak RM276 juta.

“Tatkala rakyat dihimpit dengan harga barang naik, mereka ini senang-senang nak guna ratus-ratus juta ringgit wang rakyat, duit kamu semua untuk ‘berpesta’ rebut kuasa pula.

“Kalau benar mereka nak bantu rakyat, duit rakyat ratusan juta ringgit ini boleh saja digunakan untuk bantu balik rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu dilapor menganggarkan kos mengendalikan PRN Johor mencecah RM96 juta.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah turut mengambil contoh kerajaan negeri Selangor yang boleh menawarkan harga ayam pada kadar yang murah kepada rakyat dengan hanya peruntukan RM 1 juta sahaja.

“Di Selangor, kerajaan negeri boleh bagi harga ayam murah kepada rakyat hanya dengan beri peruntukan RM1 juta sahaja, bayangkan kalau kos RM276 juta ini kerajaan guna untuk bantu juga rakyat dapatkan harga ayam yang lebih murah.

Artikel Berkaitan:

“Itu pun belum kira lagi subsidi dedak untuk penternak kita ini, kalau kerajaan punyai hati perut bantu penternak-penternak kita dengan guna peruntukan juta-juta untuk PRN ini bagi kepada mereka, tidaklah masalah kehabisan stok ayam dan telur seteruk sekarang ini berlaku,” katanya.

Beliau dalam masa sama memberi perbandingan bantuan kerajaan sebelum ini sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Perdana Menteri kelapan iaitu kos bakul makanan hanya berjumlah RM170 juta dan bajet Kementerian Perumahan dah Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bantuan pasca banjir berjumlah RM60 juta sahaja.

“Jumlah bantuan untuk rakyat teramai ini pun lebih kecil daripada jumlah keseluruhan PRN pesta rebut kuasa mereka ini,” ujarnya.

Katanya, pelbagai perkara boleh dilakukan bagi menolong rakyat dengan duit beratus juta berkenaan daripada membuat PRN.