Hanya seorang daripada 32 individu isytihar keluar Bersatu

Siti Nora mewakili kumpulan ahli Bersatu Bahagian Maran menyerahkan borang keahlian UMNO selepas mengisytiharkan keluar Bersatu, pada Rabu.
Siti Nora mewakili kumpulan ahli Bersatu Bahagian Maran menyerahkan borang keahlian UMNO selepas mengisytiharkan keluar Bersatu, pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran menafikan 31 individu yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO pada Rabu adalah ahli parti itu.

Ketuanya, Datuk Jasri Jamaludin berkata, hanya Siti Nora Mohamad Nor yang mengetuai kumpulan itu disahkan sebagai ahli Bersatu namun bukan Ketua Srikandi bahagian seperti yang didakwa.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Maran dan tiada rekod keahlian mereka dalam bahagian itu.

"Siti Nora baru menjadi ahli Bersatu Bahagian Maran pada 10 April tahun lalu.

"Dia tidak terpilih sebagai ketua srikandi bahagian ini dalam pemilihan bahagian yang diadakan pada 28 November tahun lalu sebaliknya Ketua Srikandi bahagian Maran yang dipilih adalah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jasri berkata, Ketua UMNO bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tidak meneliti dan memberi maklumat tidak tepat kepada Ketuanya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi UMNO Negeri.

"Sebagai sebuah parti politik yang mengamalkan prinsip demokrasi, kami pimpinan Bersatu Kahagian Maran bersikap terbuka dan menghormati keputusan dibuat Siti Nora untuk meninggalkan parti dan menyertai UMNO ataupun mana-mana politik siasah sekalipun," katanya.

Menurutnya, kepimpinan Bersatu bahagian Maran yang dipilih pada Persidangan Tahunan tahun lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukan bersama kepimpinan Srikandi dan Armada bahagian.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Siti Nora, 43 mengetuai 31 individu yang mendakwa ahli Bersatu Bahagian Maran menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Wan Rosdy selepas umum keluar parti.

Menurutnya, keputusan mereka keluar parti kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap hala tuju parti itu.

Kelemahan kepimpinan parti sama ada di peringkat bahagian, negeri dan pusat antara faktor mereka memilih untuk meninggalkan Bersatu.

Beliau turut mendakwa kira-kira 100 ahli Bersatu Bahagian Maran dijangka akan mengambil langkah sama.