Zoo Melaka ditutup lima hari hingga 14 Februari

Zoo Melaka ditutup hingga Isnin ini bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.
Zoo Melaka ditutup hingga Isnin ini bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.
A
A
A

MELAKA - Zoo Melaka yang popular dalam kalangan pelancong terpaksa ditutup selama lima hari bermula hari ini sehingga Isnin bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, penutupan itu antara langkah pencegahan awal selepas seorang penjaga haiwan disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, individu terbabit dipercayai mendapat jangkitan daripada ahli keluarga dan terus menjalani kuarantin selepas mengetahui dirinya positif Covid-19.

Katanya, proses sanitasi itu akan dijalankan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Februari ini.

"Walaupun hanya seorang sahaja positif Covid-19, kita ambil langkah pencegahan awal demi memastikan keselamatan pengunjung dan orang ramai.

"Malah sanitasi dan pembersihan itu dilakukan sebagai persediaan menerima pengunjung menjelang cuti penggal persekolahan pada 25 Februari ini," katanya ketika sidang akhbar di bangunan (MPHTJ) Melaka Mall, Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, kerja-kerja sanitasi turut dilakukan di semua premis dalam zoo termasuk kafe, kaunter tiket, pentas persembahan haiwan, pameran haiwan, tempat permainan kanak-kanak dan stesen tram.

Katanya, selain itu pihaknya juga akan melaksanakan semula kaedah penggiliran pekerja di pejabat MPHTJ di Melaka Mall, Ayer Keroh untuk mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Bermula esok (Jumaat), hanya 50 peratus daripada kira-kira 300 pekerja di pejabat sahaja dibenar hadir ke pejabat, manakala bakinya akan bekerja dari rumah," katanya.