PRN Johor: Bakal calon Pejuang wajib jalani ujian RBTag

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Individu yang berpotensi dinamakan sebagai calon bagi mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diwajibkan menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTag).

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, melalui ujian tersebut, Pejuang dapat memastikan calon-calon yang dihantar adalah calon-calon yang bersih, tidak terlibat dengan rasuah serta mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi berbanding calon-calon lain.

"Teras perjuangan Parti Pejuang Tanahair adalah prinsip menolak dan memerangi rasuah. Ini merupakan keutamaan dan prinsip yang menjadi jati diri dan budaya bagi setiap ahli Parti Pejuang.

"Maka, bagi membuktikan iltizam Parti Pejuang dalam memerangi rasuah, kesemua mereka yang berpotensi menjadi calon mewakili Pejuang di PRN Johor, diwajibkan untuk menjalani ujian RBTag yang disarankan oleh pihak #RasuahBusters," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ketetapan tersebut merupakan komitmen Pejuang untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Dalam pada masa yang sama menzahirkan hasrat Pejuang untuk mengubah nasib bangsa dan negara dengan menjamin masa depan yang bebas rasuah, berintegriti serta mengembalikan kegemilangan Malaysia yang tercinta," katanya.

Ujian RBTag yang digerakkan #RasuahBusters mula diperkenalkan sejak PRN Melaka di mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan parti terawal yang menggunakan khidmat tersebut.

Bagi PRN Johor, Bersatu sekali lagi bersetuju terlibat menjalani ujian sama disusuli Pejuang.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan, Ketua Sekretariat #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, calon yang serius untuk membanteras rasuah dalam politik negara seharusnya menggunakan peluang yang telah disediakan ini.

Ia bukan sahaja dapat menilai kredibiliti masing-masing, tetapi berupaya memberikan nilai tambah bagi memberikan keyakinan kepada pengundi untuk mengundi sama ada di PRN mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) yang ditandingi.

Ujian RBTag dijalankan secara profesional dan keputusan ujian adalah rahsia malah tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak

RBTag yang dilakukan secara dalam talian merupakan soalan secara rawak melibatkan 50 hingga 100 soalan melibatkan norma-norma budaya bangsa Malaysia.

Meskipun dibuat secara dalam talian, ujian tersebut tetap diadakan di dalam lab atau makmal ujian yang telah ditentukan oleh pihak pengurusan RBTag bertujuan memastikan tidak berlakunya sebarang penipuan semasa ujian berlangsung.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-61786093 atau 012-7869261 dan menghantarkan email ke rbtag.mccf@gmail.com bagi pertanyaan dan pendaftaran.

Kepada yang berminat boleh melayari www.rbtagmy.com atau http://rbtagmy.com/supportRasuahBusters.php untuk maklumat lanjut.