Bebas rentas, bukan bebas langgar SOP

Azahar memegang bendera sebagai simbolik melancarkan Konvoi Bersepadu IOW Fasa 4 PPN di Wisma Persekutuan, Kota Bharu pada Khamis.
Azahar memegang bendera sebagai simbolik melancarkan Konvoi Bersepadu IOW Fasa 4 PPN di Wisma Persekutuan, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan melaksanakan hampir 10,000 hebahan Info On Wheel (IOW) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Pengarah JaPen Kelantan, Azahar Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 9,800 IOW digerakkan pada tahun lalu manakala 434 lagi dilaksanakan bermula 1 Januari tahun ini sehingga 10 Februari lalu di setiap daerah di negeri ini.

Menurutnya, hebahan IOW dipergiatkan lagi dalam keadaan Covid-19 yang kembali mencatatkan empat angka kes positif harian di negeri ini.

“Gerak kerja JaPen diteruskan bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai supaya mematuhi SOP terutamanya ketika musim cuti dan perayaan.

“Bebas rentas sempadan tidak bermaksud bebas ‘rentas’ (langgar) SOP,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Konvoi Bersepadu IOW Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Wisma Persekutuan di sini pada Khamis.

Azahar berkata, kempen bersepadu IOW bertujuan membudayakan norma baharu ketika Kelantan berada pada Fasa 4 PPN agar angka kes jangkitan dapat dikurangkan.

“Pada fasa ini hebahan dilakukan menerusi kaedah bersemuka atau media sosial dengan lebih agresif dan menekankan tindakan yang boleh diambil kepada mereka yang ingkar SOP.

“Hebahan turut menyampaikan maklumat berkait SOP norma baharu dengan menekankan masyarakat untuk kekal patuh penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka untuk membendung penularan wabak ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kempen melibatkan kakitangan JaPen, kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang turut berperanan membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum.

“Secara purata, hebahan IOW melalui pembesar suara juga dilaksanakan sebanyak 400 kali sebulan menerusi kenderaan Unit Bergerak JaPen dengan sasaran setiap hebahan akan sampai antara 40 hingga 50 orang penduduk,” katanya.