Sila log masuk terlebih dahulu.

Tangguh PRN Johor atau benar kempen terbuka: PH

 Pakatan Harapan
Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) Johor susulan peningkatan jangkitan Covid-19 telah melebihi 17,000 kes.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan membuat gesaan itu bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes Covid-19 sebagai alat bagi tujuan politik.

"Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.

“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor," katanya pada Khamis.

Katanya, sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.

“Yang pasti perintah kawalan pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” katanya

PH turut memberikan amaran kepada kerajaan agar tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan.

“Janganlah kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar,” ujarnya.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Bagaimanapun dalam masa sama, Majlis Presiden PH akan menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti merangkumi pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

“Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Majlis Presiden PH turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang diadakan dan ia bertepatan dengan hasrat gabungan itu.

“RUU Anti Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan PH.

“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022.

“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MoU tersebut,” ujarnya.