Desakan adakan PRN permainan politik UMNO

Mohd Asmirul
Mohd Asmirul
A
A
A

ALOR SETAR - Desakan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri yang dilihat memiliki majoriti tipis hanya permainan politik UMNO bagi memastikan agenda parti itu direalisasikan.

Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, ia untuk mewujudkan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlaku sebelum pemilihan UMNO yang dijangka pada Oktober.

Menurut Mohd Asmirul, sekiranya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) terlebih dahulu diadakan sebelum PRU15, pasti akan berlaku perebutan kuasa terutama kerusi panas dalam UMNO termasuk milik Presiden.

“Ini juga melibatkan kerusi-kerusi panas lain. Apakah Ismail Sabri selaku Perdana Menteri yang kini merupakan Naib Presiden UMNO akan beri laluan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti untuk menjadi Perdana Menteri?

“Adakah Ahmad Zahid bersedia beri laluan kepada Ismail Sabri untuk kekal sebagai Perdana Menteri? Sejauh mana kebenarannya, sama-samalah kita tunggu dan lihat,” katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Mohd Asmirul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata, desakan terbabit dikatakan semakin kencang susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) atau PRN hanya boleh berlaku sebelum penggal ketiga tahun ini, iaitu sebelum Ogos.

“Selepas Ogos tiada lagi sebarang pilihan raya boleh diadakan susulan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 berikutan sudah cukup mandat lima tahun (2018 - 2023),” katanya.

Desas desus sebelum ini melaporkan kem UMNO diketuai Ahmad Zahid sedang merancang sekurang-kurangnya tiga lagi PRN.

Artikel Berkaitan:

Gerakan terbabit dikatakan bermula seusai PRN Melaka, diikuti Johor. Namun pelbagai spekulasi mula bertiup kencang akan berlaku PRN di Kedah pula.

Ia dihangatkan dengan dakwaan lima ADUN Kedah termasuk dua daripada UMNO bersedia memberikan laluan kepada PRN Kedah.

Kehadiran Ismail Sabri ke Kedah pada Isnin kembali menghangatkan dakwaan terbabit meskipun kehadiran beliau adalah atas tiket lawatan kerja Perdana Menteri ke Kedah.

Mengulas lanjut, Mohd Asmirul berkata, peralihan kuasa tanpa pilihan raya juga pernah berlaku di Kedah sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2016 dan 2020.

"Ia juga bermula dengan desas-desus kemudian menjadi khabar angin yang bertiup kencang, sebelum benar-benar menjadi kenyataan,” katanya.

Pada 30 Januari, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan kerajaan negeri pimpinannya kini goyah susulan dakwaan dua ADUN daripada UMNO akan menarik sokongan selain menyifatkan ia sekadar khabar angin.

Turut menafikan dakwaan tersebut ialah ADUN Bandar Baharu daripada UMNO, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit, malah menyatakan masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah.

Ini diikuti kenyataan Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat yang menegaskan, kerajaan negeri Kedah masih stabil sehingga hari ini dan tiada sebab untuk mengadakan PRN, selain menyifatkan apa yang disebarkan sebagai gimik semata-mata.