PDRM tingkat operasi bersama negara lain perangi sindiket dadah

Ayob Khan (empat dari kanan) menghadiri majlis pemberian sijil penyertaan kursus dalam talian berkaitan memerangi aktiviti pengedaran dadah antarabangsa di Kedutaan Rusia pada Rabu. - FOTO HALIM ABDUL WAHID
Ayob Khan (empat dari kanan) menghadiri majlis pemberian sijil penyertaan kursus dalam talian berkaitan memerangi aktiviti pengedaran dadah antarabangsa di Kedutaan Rusia pada Rabu. - FOTO HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa dalam memerangi sindiket dadah melalui lebih banyak operasi bersama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerjasama dengan negara lain dari segi perkongsian risikan berada pada tahap terbaik

“Bagaimanapun, kita perlu meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersama dalam menumpaskan rangkaian sindiket dadah antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pemberian sijil penyertaan kursus dalam talian berkaitan memerangi aktiviti pengedaran dadah antarabangsa di Kedutaan Rusia di sini pada Rabu.

Ayob Khan berkata, sindiket dadah antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diseludup ke negara lain.

"Hampir RM1 bilion dadah dirampas tahun lepas, ia menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus berbanding tahun 2020," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ayob Khan memaklumkan kursus yang dihadiri oleh pegawai JSJN Bukit Aman itu secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi kepakaran dalam menangani isu dadah.

Sementara itu, Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov berkata, sijil penyertaan kursus dalam talian itu diberikan kepada pegawai Polis Asean (Aseanapol) termasuk pegawai dari PDRM.

“Kita menyokong Aseanapol dalam usaha mereka mengadakan kursus latihan khusus dan berkongsi pengalamannya dengan pegawai dari negara anggota Aseanapol," katanya.

Artikel Berkaitan: