MBSA tubuh 'task force' selesai aduan awam

Zamani Ahmad (kanan) memasang pelekat kenderaan pasukan task force MBSA selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MBSA, pada Rabu.
Zamani Ahmad (kanan) memasang pelekat kenderaan pasukan task force MBSA selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MBSA, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menubuhkan pasukan pemantau aduan (task force) untuk mengenal pasti dan menangani setiap aduan awam dengan segera.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan, penubuhan pasukan itu adalah usaha memperkasa pengurusan aduan awam MBSA.

Menurut kenyataan itu, pemerkasaan pengurusan aduan awam merupakan aspek penting diberikan tumpuan oleh MBSA dalam usaha meningkatkan kesejahteraan, keselesaan dan keharmonian komuniti di Shah Alam.

"Penubuhan task force ini juga merupakan komitmen berterusan MBSA untuk mempertingkatkan perkhidmatan serta memperbaiki sistem pengurusan aduan awam demi kesejahteraan komuniti setempat," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Program pelepasan pasukan task force MBSA disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MBSA.

Kenyataan itu memaklumkan, pasukan task force tersebut dianggotai kakitangan daripada pelbagai jabatan, bahagian dan pejabat cawangan yang akan memantau keseluruhan 56 seksyen di bawah pentadbiran MBSA.

"Sebanyak 28 pasukan terdiri daripada empat ahli bagi setiap kumpulan dengan jumlah seramai 112 kakitangan terlibat dalam pasukan ini.

"Pasukan dibahagikan mengikut zon di dalam kawasan pentadbiran MBSA iaitu 12 pasukan di zon tengah (Seksyen 1 hingga Seksyen 24), 10 pasukan di zon utara (Seksyen U1 hingga Seksyen U20) dan enam pasukan di zon Selatan (Seksyen 25 sehingga Seksyen 36 )," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan tersebut, setiap pasukan memantau dua seksyen dan pada peringkat permulaan, pasukan task force akan memberikan tumpuan kepada lima aduan yang mencatatkan aduan tertinggi di MBSA.

"Lima kategori aduan tertinggi iaitu sampah, lampu, pokok, jalan dan papan tanda jalan," kata kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan awam boleh menghubungi Call Centre Aduan MBSA di talian bebas tol 1-800-88-4477, atau melalui portal laman sesawang www.aduan.mbsa.gov.my atau menggunakan aplikasi I- adu.