Padah bawa bas di lorong kanan melebihi 100km sejam

Hanif Yusabra memeriksa dokumen perjalanan sebuah bas ekspres.
Hanif Yusabra memeriksa dokumen perjalanan sebuah bas ekspres.
A
A
A

SEREMBAN - Memandu di lorong kanan secara berterusan dengan kelajuan dipercayai lebih 100 kilometer sejam merupakan kesalahan paling banyak dikesan dilakukan pemandu bas.

Kesalahan itu dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan yang melakukan penyamaran sebagai penumpang sepanjang tempoh Operasi Tahun Baharu Cina 2022 yang bermula 25 Januari lalu hingga Selasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam tempoh dua minggu operasi, 13 daripada 29 bas dikenakan tindakan dengan 23 kesalahan direkodkan.

"Sebanyak tujuh kes melibatkan kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan yang mana kita syaki mereka memandu melebihi 100 kilometer sejam.

"Sepatutnya maksimum bas dipandu 90 kilometer sejam dan jika mahu memotong pun perlu masuk semula ke lorong kiri jalan," katanya pada sidang akhbar Advokasi Keselamatan Jalan Raya Pemandu dan Penumpang Bas dan Penguatkuasaan Tahun Baru Cina 2022 di Terminal 1 di sini, pada Selasa.

Selain itu katanya, empat kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu turut direkodkan selain satu kesalahan memotong di garisan berkembar dan dua kes tidak mematuhi lampu isyarat.

Hanif Yusabra (dua dari kanan) memberi advokasi kepada pemandu dan pengusaha bas di Terminal 1 di Seremban.
Hanif Yusabra (dua dari kanan) memberi advokasi kepada pemandu dan pengusaha bas di Terminal 1 di Seremban.

Tambahnya, dua kes melibatkan kesalahan tiada pemandu kedua, tiga kes memandu secara berterusan melebihi 300km, tata kelakukan seperti merokok dan pemakaian pemandu (tiga kes) dan meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan (satu kes) juga turut direkodkan sepanjang operasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Nasihat saya kepada semua pemandu bas ekspres berhati-hatilah dan ikut peraturan ditetapkan demi keselamatan diri sendiri dan penumpang.

"Orang ramai juga boleh buat aduan jika terdapat sebarang salah laku yang berkaitan pemanduan bas," katanya.

Hanif Yusabra berkata, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut mengesan seorang pemandu bas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.

Selain itu katanya, daripada 7,153 jumlah kenderaan yang diperiksa sepanjang operasi terbabit, sebanyak 891 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Terdapat 2,034 kesalahan direkodkan dan masalah pelesenan kenderaan paling tinggi dilakukan iaitu 622 kes.

"Ia diikuti kesalahan teknikal (566 kes) dan pelesanan pemandu (551 kes) dan kesalahan berkaitan muatan(110 kes). Secara keseluruhan sebanyak 1,510 saman dikeluarkan," katanya.