Tarikh Sukma Kuala Lumpur diumum akhir bulan ini

Ahmad Faizal (tengah depan) meninjau kolam renang dan kemudahan sukan selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan air dan Udara (Kamsau) di Kota Tinggi, pada Selasa.
Ahmad Faizal (tengah depan) meninjau kolam renang dan kemudahan sukan selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan air dan Udara (Kamsau) di Kota Tinggi, pada Selasa.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan tarikh penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini pihaknya sedang menyiapkan memorandum jemaah menteri bagi permohonan peruntukan menganjurkan Sukma berkenaan.

Beliau yakin penganjuran sukan itu masih dapat diteruskan dan pada masa sama berharap semua menjaga prosedur operasi standard (SOP).

"Saya percaya kalau kita terus menjaga prosedur operasi standard (SOP), tiada acara yang akan terganggu, malangnya ia akan terganggu jika orang ramai tidak menjaga SOP dan ada jangkitan.

"Apabila ia berlaku akan merencatkan kemeriahan penganjuran tak kiralah sukan atau hiburan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (Kamsau) di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ti Lian Ker.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata, KBS yakin peningkatan kes Covid-19 tidak akan menjejaskan penganjuran Sukma namun perlu dilaksanakan dengan mengikut SOP ditetapkan.

Beliau berkata, skala pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

Mengenai keadaan fasiliti bagi Sukma Johor bakal diadakan pada 2024, Ahmad Faizal berkata, pihak berkaitan diminta agar sentiasa melakukan penyelenggaraan dan berharap agar fasiliti tersebut dapat digunakan untuk kegunaan ramai.

"Maintainence' kalau pun tidak ada Sukma, kita tetap kena selenggara... saya mohon semua pihak sebagai penyelenggara fasiliti hendaklah menjaga dengan baik.

“Ini kerana semua fasiliti kita bina adalah menggunakan kantung (peruntukan) daripada kerajaan dan wang rakyat amat perlu kita jaga sebaik mungkin,” katanya.

Sukma Johor ke-20 sepatutnya dianjurkan pada 2020 namun ditunda beberapa kali disebabkan pandemik Covid-19 sebelum diputuskan penganjurannya pada 2024.