Isu telur ayam: KPDNHEP bincang dengan MAFI

Rosol (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian stesen minyak tersebut di Batu Balai di Jerantut pada Selasa.
Rosol (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian stesen minyak tersebut di Batu Balai di Jerantut pada Selasa.
A
A
A

JERANTUT- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, satu perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mencari penyelesaian segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, pelbagai rungutan serta kebimbangan diluahkan oleh masyarakat susulan kekurangan bekalan telur di pasaran menjelang Ramadan dan Syawal nanti.

"Jadi kita akan bincang untuk atasi situasi ini supaya isu harga dan bekalan tidak menjadi masalah kerana kalau harga stabil, tapi bekalan tidak ada pun akan jadi masalah juga.

"Kita juga sedar dan ambil berat dengan mereka yang terlibat contohnya seperti pengusaha biskut raya yang memerlukan bekalan telur lebih banyak berbanding pengguna isi rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena perasmian stesen minyak Five Petroleum Malaysia di Batu Balai di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi syarikat, Datuk Juhari Abdul Ghani dan Pengarah Urusan, Datuk Seri Dr King Lim.

Menurut Rosol, sebanyak 30 juta biji telur sehari digunakan oleh rakyat di negara ini dan aspek pengeluaran telur ayam untuk pasaran tertakluk di bawah MAFI.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP bertanggungjawab memastikan kestabilan harga di pasaran dan kedua-dua pihak bekerjasama rapat bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga bahan makanan itu di pasaran," jelasnya.

Dalam pada itu, Rosol menjelaskan sebanyak 2,410 premis telah diperiksa dengan tiga kes dicatatkan setakat Isnin sepanjang pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

"Jika terdapat unsur pencatutan harga, kita akan mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat," tambahnya.

Sementara itu, Rosol juga turut memuji usaha syarikat Five Petroleum yang membuka stesen minyak terbabit di kawasan luar bandar khususnya.

Menurutnya, ia memberikan kemudahan kepada masyarakat luar bandar tanpa perlu berulang alik yang melibatkan jarak jauh seperti di Batu Balai di sini.