Dedak naik harga, lebih 200 penternak ayam berisiko gulung tikar

Wooi Perng menunjukkan jadual penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam yang ditetapkan kerajaan.
Wooi Perng menunjukkan jadual penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam yang ditetapkan kerajaan.
A
A
A

BERUAS - Harga dedak yang meningkat secara mendadak menyebabkan lebih 200 penternak ayam di daerah Manjung berdepan risiko gulung tikar.

Pengerusi Persatuan Penternak Manjung, Tan Wooi Perng berkata, kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik dalam pemberian subsidi bagi mengelakkan penternak terus mengalami kerugian hingga jutaan ringgit sehari.

Menurutnya, perbelanjaan untuk pembelian dedak yang diimport mempengaruhi 70 peratus operasi penternakan ayam.

"Harga dedak lebih RM80 satu beg seberat 50 kilogram (kg) sebelum ini dan sekarang RM120 hingga RM125 bergantung pada kuantiti dan jenama.

"Harga dedak meningkat RM1 dan RM2 setiap bulan dengan kenaikan keseluruhan sebanyak RM33 dalam tempoh dua tahun," katanya ketika ditemui pemberita di Ayer Tawar di sini pada Selasa.

Wooi Perng berkata, apabila kerajaan memberi subsidi dedak, penternak sudah boleh menarik nafas lega untuk menjual ayam pada harga ladang yang ditetapkan iaitu RM5.60.

"Harga kawalan yang ditetapkan kerajaan sehingga Jun ini tidak seimbang dengan kos di peringkat ladang sebanyak RM6.10 dan RM6.20 sekilogram.

"Sekiranya tiada bantuan mahupun subsidi daripada kerajaan, kami mampu bertahan dalam tempoh dua bulan dan kira-kira 16 hingga 17 peratus pembekalan bahan mentah ini di negara akan terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli persatuan, Datuk Alex Ding Seng Huat berkata, kerajaan juga perlu melihat industri yang mengalami kekurangan pekerja asing akibat pandemik Covid-19.

"Kekangan kemasukan tenaga kerja asing menjadi salah satu cabaran buat industri kami yang turut menekan kos operasi. Mana yang tinggal sekarang tuntut gaji lebih tinggi.

"Kita berebut pekerja asing dengan kilang yang menawarkan gaji tinggi manakala penduduk tempatan tidak mahu bekerja di sektor yang berbau busuk ini," katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu membantu penternak-penternak ayam serta disegerakan pemberian subsidi.

Katanya, mengimport mentah itu bukan jalan penyelesaian sebaliknya akan mengurangkan penawaran ayam segar di pasaran.

"Penternak terbeban dengan undang-undang yang ketat seperti pembinaan reban tertutup selain penggunaan elektrik yang tinggi. Penternak baharu sudah tentu tidak berani menceburi industri ini.

"Industri ayam ini saling berkait antara sama sama lain. Jika isu ayam tidak dapat dikawal ia menjejaskan harga telur, industri makanan dan pengguna khususnya," katanya.