Masyarakat Tionghua di Johor perlu kembali sokong BN

Hasni (tengah) bersama tetamu lain menggaul yee sang ketika Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina di Pontian Besar pada malam Isnin.
Hasni (tengah) bersama tetamu lain menggaul yee sang ketika Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina di Pontian Besar pada malam Isnin.
A
A
A
PONTIAN - Masyarakat Tionghua di Johor perlu kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bagi membolehkan lebih banyak kemajuan dicapai di negeri ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sokongan itu akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil.

Menurutnya, Johor yang terletak berjiran dengan Singapura mempunyai banyak potensi pelaburan sekaligus menjadikan negeri ini antara penyumbang terbesar perolehan pendapatan negara.

"Johor memainkan peranan cukup besar dalam sudut ekonomi. Saya percaya pelbagai bidang lain mampu dikembangkan di negeri ini sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.

"Justeru, saya harap masyarakat Tionghua di Johor beri peluang kepada BN untuk menjadi kerajaan negeri lebih kukuh dan kuat di Johor sekali gus beri saya peluang semula membangunkan ekonomi negeri yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina di Pontian Besar di sini pada malam Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Kiong.

Dalam majlis itu, Hasni juga mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada tokong Fat See Kong Kow Beow Pontian bagi menambah baik kemudahannya.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini meraikan pelbagai perayaan dalam keadaan harmoni perlu terus dipelihara.
Artikel Berkaitan:


"Keunikan ini dapat kita saksikan setiap kali sambutan jamuan muhibah Tahun Baharu Cina yang diadakan dengan kehadiran rakan berbilang kaum.

"Cara begini memberi gambaran keharmonian, perpaduan, toleransi dan kestabilan masyarakat yang baik untuk Johor. Keunikan sebegini perlu dikekalkan supaya pelabur terus berminat membawa pelaburan masuk ke suasana persekitaran yang stabil dan aman," katanya.