Burnley mahu tambah derita Manchester United

Dyche ingatkan pemainnya agar tidak ambil mudah cabaran The Red Devils di Turf Moor.
Dyche ingatkan pemainnya agar tidak ambil mudah cabaran The Red Devils di Turf Moor.
A
A
A

BURNLEY bertekad menambah derita Manchester United ketika melayan skuad Ralf Rangnick itu dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor pada Rabu, kata pengendalinya, Sean Dyche.

Malah Dyche percaya, Burnley yang kini terperosok di dasar liga, namun tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir di tempat sendiri, mampu menghadirkan gaya permainan tanpa kompromi di Turf Moor.

“Apabila kami berdepan kelab lebih besar atau kelab kuasa besar, kami kebiasaan akan membuat permainan berasa berbeza dan berasa janggal untuk mereka.

"Mencampurkan gaya dan taktikal permainan, kami yakin boleh mendapat keputusan positif seterusnya memenangi perlawanan. Itu tugas dan itulah hasrat kami berdepan United," kata Dyche.

Untuk rekod, The Red Devils memenangi lima daripada lapan perlawanan liga sejak Rangnick menjadi pengendali sementara selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat, termasuk menewaskan Burnley 3-1 di Old Trafford pada Disember.

Namun Manchester United membuat perjalanan singkat ke Burnley selepas kekalahan pusingan keempat Piala FA kepada kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough menerusi sepakan penalti.

The Red Devils juga sedang berdepan pergolakan dalaman selepas penyerang Mason Greenwood ditahan minggu lalu kerana disyaki merogol dan menyerang seorang wanita.

Bintang muda berusia 20 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin minggu lalu sementara menunggu siasatan lanjut, namun digantung Manchester United sehingga satu masa yang dimaklumkan.

Artikel Berkaitan:

Biarpun The Red Devils sedang berdepan pergolakan dalaman, Dyche tetap mengingatkan para pemainnya supaya tidak mengambil mudah cabaran pelawat.

"Anda harap Manchester United terdedah kepada kekalahan, namun sebenarnya anda tidak boleh menjaminnya. Mereka mempunyai beberapa bintang dunia dengan kualiti sebenar.

"Saya percaya para pemain Burnley akan beraksi dengan sangat baik di Turf Moor, tambahan pula secara statistik kami lebih ampuh setiap kali di laman sendiri.

"Untuk perlawanan ini kita boleh membina mentaliti kemenangan," katanya.

Burnley mengekalkan rekod tanpa bolos dalam dua perlawanan terakhir - seri 0-0 di Arsenal bulan lalu diikuti dengan Watford pada Ahad