Lagi kluster pendidikan direkodkan di Sabah

Seramai 18 pelajar SM Maktab terlibat dengan kluster baharu institusi pendidikan di Sabah yang direkodkan pada Isnin. - Gambar hiasan
Seramai 18 pelajar SM Maktab terlibat dengan kluster baharu institusi pendidikan di Sabah yang direkodkan pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 18 individu membabitkan pelajar Sekolah Menengah (SM) Maktab di sini antara yang terlibat dengan kluster baharu institusi pendidikan di Sabah yang direkodkan pada Isnin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster baharu dikenali sebagai Kluster Jalan Pintas Sembulan di sini dan satu kluster tempat kerja iaitu Kluster Giram di Kunak adalah dua kluster direkodkan pada Isnin.

"Kluster Jalan Pintas Sembulan melibatkan kes indeks mula bergejala 3 Februari dan menjalani ujian saringan pada hari sama kemudian didapati positif Covid-19. Sebanyak 79 orang kontak rapat disaring dan mengesan 17 lagi kes positif," katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, Kluster Giram berlaku di Ladang Giram di Kunak tercetus apabila kes indeks seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disahkan positif Covid-19 di klinik swasta pada 31 Januari selepas bergejala pada hari sama.

"Saringan terhadap kontak sekerja dan kontak keluarga kemudiannya mendapati 19 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes termasuk tiga kes baharu dilaporkan pada hari ini," katanya.

Masidi berkata, angka jangkitan bagi Sabah terus meningkat dengan jumlah kes baharu sebanyak 1,600 kes iaitu peningkatan 315 kes berbanding pada Ahad sebanyak 1,285 kes.

"Sebanyak 47.55 peratus jangkitan baharu hari ini berlaku secara sporadik dan hanya disedari apabila pesakit mengalami gejala jangkitan Covid-19," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: