Saingan LHM 2022 tanpa kelibat juara bertahan UniKL

Anil Jeet
Anil Jeet
A
A
A

LIGA Hoki Malaysia (LHM) musim ini dijangka hilang seri tanpa kelibat juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dikeluarkan daripada senarai pasukan bertanding dalam kejohanan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, UniKL yang merupakan juara tiga kali berturut-turut bermula 2019, gagal menghantar borang pengesahan akhir bagi menyertai LHM 2022 yang dijadualkan dari 18 Februari hingga 31 Mac.

Berikutan itu, jawatankuasa berkenaan mencapai kata sepakat untuk menggantikan juara liga dan Piala Sumbangsih 2021 tersebut dengan Skuad Pembangunan KHM bagi saingan LHM kali ini.

Bagi aksi pembuka tirai LHM, iaitu perlawanan Piala Sumbangsih 2022 antara juara liga UniKL dan juara Piala TNB 2021 Terengganu Hockey Team (THT), yang sepatutnya berlangsung pada 18 Februari ini, Anil Jeet berkata perkara itu hanya boleh diputuskan menerusi perbincangan bersama semua pihak yang terlibat.

"UniKL ingin menyertai LHM 2022 tetapi mereka masih gagal untuk menghantar borang pengesahan akhir. Walaupun tempoh lanjutan diberi sehingga hari ini, kami tidak menerima sebarang maklum balas.

"Pasukan pembangunan ini terdapat pemain kebangsaan yang akan beraksi. Seperti kami maklumkan sebelum ini, kami ingin melihat potensi pemain-pemain kebangsaan untuk mereka mendapat perlawanan dan bersedia menghadapi perlawanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Anil Jeet turut berharap setiap pasukan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga diri dengan sebaiknya sepanjang kejohanan liga berlangsung agar tidak berlaku penularan jangkitan Covid-19.

Selain Skuad Pembangunan KHM, enam lagi pasukan yang berentap dalam saingan lelaki adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, UiTM HA, Nurinsafi Sporting, Maybank Hockey Team dan THT.

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori wanita, tiga pasukan baharu iaitu Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan Skuad Pembangunan KHM (wanita) akan berentap bersama Mutiara Impian-MSSPP-PSHA, Sabah dan KPT-Uniten Thunderbolts.