Warisan lapor SPRM siasat perjanjian NCA


Warisan membuat laporan kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap perjanjian NCA pada Isnin. - Gambar hiasan
Warisan membuat laporan kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap perjanjian NCA pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) pada Isnin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA).

Laporan itu dibuat Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua Jr petang ini di pejabat SPRM Kota Kinabalu di sini mengenai perjanjian NCA antara kerajaan Sabah dan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura.

Loretto berkata, laporan yang dibuatnya bukan bermotifkan politik, sebaliknya dibuat atas kesedaran seorang rakyat Malaysia yang mahu kedaulatan negara ini dilindungi.

"Proses ini berjalan selama dua jam yang mana rekod dan keterangan saya telah diambil, saya juga diarah untuk tidak memberitahu secara terperinci berkenaan laporan saya namun secara am laporan ini berkenaan NCA,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

NCA adalah sebuah perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon iaitu satu sistem berasaskan pasaran bagi mengurangkan kesan gas rumah hijau terutama karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global dengan memberikan insentif dari segi kewangan.

Pada Ahad, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata, NCA itu tidak melibatkan penjualan atau cagaran tanah hutan seperti didakwa pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa perjanjian NCA selama 100 tahun itu menyebabkan dua juta hektar hutan di Sabah ‘diserahkan’ kepada syarikat tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: