Op Selamat 17: Polis NS keluarkan saman RM2.6 juta

Polis melakukan sekatan jalan raya ketika Op Selamat di Plaza Tol Mambau, baru-baru ini.
Polis melakukan sekatan jalan raya ketika Op Selamat di Plaza Tol Mambau, baru-baru ini.
A
A
A

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan mengeluarkan 10,559 saman bernilai RM2.6 juta sepanjang Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di negeri ini yang bermula 18 Januari lalu sehingga Ahad.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, saman itu dikeluarkan dalam 151 operasi dilaksanakan melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

"Kesalahan paling tinggi dilakukan memandu melebihi had laju dengan 6,032 kes, diikuti tidak patuh lampu isyarat (284) dan menggunakan alat komunikasi ketika memandu (118).

"Selain itu memotong barisan (133), memotong garisan berkembar (50) dan memandu di lorong kecemasan (satu)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Negeri Sembilan di sini, pada Isnin.

Menurutnya, kes kemalangan turut menunjukkan penurunan sebanyak 251 kes iaitu 565 kes berbanding 815 kes Op Selamat sebelumnya.

Tambah beliau, terdapat satu kes kemalangan maut direkodkan berbanding sembilan pada Op Selamat sebelumnya.

"Faktor mengikut rapat punca utama kemalangan berlaku yang mana terdapat 151 kes direkodkan.

"Faktor-faktor lain iaitu tidak perasan ada kenderaan lain melibatkan 95 kes, cuai keluar dan masuk simpang jalan (77), terbabas sendiri (60), cuba memotong (37), cuai mengundur (33) dan leka atau letih (13)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, seramai 156 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, sebanyak lima kes jenayah pecah masuk direkodkan melibatkan dua jenayah pecah rumah kediaman dan satu kes pecah masuk pejabat dan dua kes melibatkan tempat ibadat.