SPRM mula siasat Mara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan mula menyiasat dokumen-dokumen penting berhubung isu integriti melibatkan pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam tiga serbuan berasingan di ibu negara pada Isnin.

Menurut sumber SPRM, serbuan itu dijalankan di tiga lokasi berasingan iaitu di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang.

“Serbuan di lokasi Jalan Mara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman masing-masing melibatkan empat pegawai SPRM manakala di Jalan Bukit Bintang tiga pegawai SPRM terlibat,” kata sumber terbabit.

SPRM berkata, serbuan itu telah bermula pada jam 10.30 pagi tadi.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Mara Corporation, Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati terdapat sekurang-kurangnya lima pegawai SPRM berada di lokasi berkenaan.

Perkara itu disahkan pekerja syarikat berkenaan yang memaklumkan pegawai itu tiba di lokasi kurang sejam lalu.

Setakat jam 12.30 tengah hari, pegawai-pegawai SPRM masih berada di dalam syarikat berkenaan.

Pada Jumaat, sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular di Twitter.

Artikel Berkaitan:

Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Azizah kemudiannya berkata bahawa Mara telah memulakan siasatan lanjut di Mara Corp. bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.