Trofi AFCON hadiah untuk rakyat Senegal

Pemain serta pegawai Senegal meraikan kejayaan muncul juara AFCON 2022. - Foto EPA
Pemain serta pegawai Senegal meraikan kejayaan muncul juara AFCON 2022. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Senegal, Aliou Cisse menyifatkan kejayaan memenangi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022, sebagai hadiah paling istimewa kepada seluruh rakyat negara berkenaan.

Malah menurut, kemenangan berkenaan turut menebus kesilapannya yang gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir pada edisi 2002 lalu dan menyaksikan skuad Lions Of Teranga itu tewas kepada Cameroon.

“Saya dedikasikan kejayaan ini kepada seluruh rakyat Senegal. Bertahun lamanya, kita mengejar piala ini dan kali ini kita sudah boleh meletakkan ‘bintang’ pada jersi pasukan kita sebagai tanda kita pernah memenangi AFCON.

“Kemenangan kali ini yang dilakar di bumi Cameroon juga memberikan makna tersendiri buat saya yang gagal membantu pasukan pada 2002.

“Namun, kali ini kejayaan yang dicipta cukup istimewa kerana kami telah menewaskan pasukan paling berjaya di Afrika (Mesir),” katanya.

Aksi final AFCON 2022 pada Isnin menyaksikan Senegal dan Mesir gagal menjaringkan gol sehingga tamat masa tambahan bagi mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Pada penentuan sepakan penalti, penyerang berbisa Senegal, Sadio Mane menyempurnakan sepakan penalti terakhir bagi memberikan kemenangan 4-2 buat skuad Lions Of Teranga itu setelah sepakan penalti dua pemain Mesir, Mohamed Abdelmonem El-Sayed Mohamed Ahmed terkena tiang gol dan melantun keluar manakala sepakan pemain gantian, Mohanad Lasheen diselamatkan penjaga gol Senegal, Eduard Mendy.

Sepakan penalti yang disempurnakan Mane itu turut menebus kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-6 selain ‘menutup’ kegagalan sepakan penalti rakan sepasukan, Bouna Saar pada penentuan sepakan penalti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pengendali Mesir, Carlos Queiroz yang menyaksikan aksi final berkenaan daripada tempat duduk penonton berharap agar kekalahan berkenaan tidak melemahkan semangat pemain.

Katanya, dia telah mengarahkan pembantunya, Diaa al-Sayed untuk bercakap dan memberikan kata-kata semangat kepada pemain.

“Saya meminta Diaa untuk menemui pemain, terutamanya Mohamed Salah. Saya tahu dia (Salah), memang bercita-cita untuk memenangi final kali ini.

“Dia telah beraksi dan memenangi kejohanan-kejohanan besar di Eropah dan kali ini dia benar-benar mahu memenangi piala ini untuk negaranya.

“Namun, sebagai pemain berkelas dunia, saya kagum sikap yang ditunjukkan Salah,” katanya.