Projek tebatan banjir elak musibah jangka panjang

Ahmad (kanan) melawat gerai-gerai jualan semasa merasmikan KALA Sentral di Dataran Muhammadi, Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad (kanan) melawat gerai-gerai jualan semasa merasmikan KALA Sentral di Dataran Muhammadi, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memberi fokus kepada pembinaan projek tebatan banjir dalam usaha mengatasi musibah berkenaan yang sering melanda negeri ini setiap kali tiba musim tengkujuh.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya memberikan keutamaan di beberapa kawasan seperti Rantau Panjang dan Kuala Krai yang sering dilanda musibah berkenaan.

"Selain itu, perancangan jangka panjang kerajaan negeri ialah mewujudkan dua buah empangan dalam mengatasi masalah banjir ini iaitu di Lebir dan Neggiri di Gua Musang," katanya selepas merasmikan Kelantan Authentic Lifestyle and Arts (KALA) Sentral di Dataran Muhammadi, di sini pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Datuk Hanifa Ahmad, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan, Dr Izani Husin serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab Azis Yunus.

Menurutnya, kewujudan dua buah empangan itu mampu memberikan bekalan air kepada penduduk di negeri ini.

Beliau berkata, kedua-dua perkara itu telah dipanjangkan kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengurangkan kesan banjir dalam jangka panjang.

Katanya, projek tebatan banjir yang sedang berjalan di Rantau Panjang masih belum siap sepenuhnya.

Ahmad berkata, jika projek tebatan banjir ini berjalan dengan lancar, ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh masa antara dua atau tiga tahun lagi yang secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko banjir di sekitar Rantau Panjang, Meranti (Pasir Mas) dan Tumpat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai KALA Sentral, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan menjadikan lokasi itu sebagai pusat pengumpulan produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Kelantan.

"Kita juga bercadang untuk membuka KALA Sentral di setiap jajahan dalam usaha merancakkan lagi industri PKS Kelantan.

"Untuk makluman sebanyak 1,000 jenis produk PKS telah dipasarkan di KALA Sentral. Langkah ini sekali gus memudahkan pelancong untuk membeli produk PKS di satu pusat sahaja iaitu KALA Sentral," katanya.