'PRN Johor tidak beri kesan kepada mahkamah'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak beri kesan kepada mahkamah sebaliknya memberi kesan kepada yang pernah menipu rakyat dan mengkhianati undi dengan melompat parti selepas 9 Mei 2018.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hujah pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang mengaitkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan pendakwaan politik dikenakan terhadapnya adalah lemah dan memesongkan.

“Juga suatu hujah seolah-olah memperlekeh kebijaksanaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negeri jajahan takluk Johor.

“‘Bior’ kita perjelaskan sekali lagi kepada mereka bahawa bangsa Johor memerlukan mandat baharu demi memastikan kestabilan politik yang kukuh di negeri itu.

“Ini bukan perkara 'olok-olok'. Dengan kerajaan negeri hanya memiliki kelebihan satu kerusi, negeri Johor berisiko tinggi berdepan dengan kekalutan politik pada bila-bila masa,” katanya dalam siaran di Facebook rasminya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pimpinan PN tidak sepatutnya mengeruhkan lagi hal tersebut sedangkan mereka memahami realiti ketidakstabilan politik yang sedang berlaku.

“Dan kemudian membuat tuduhan mengarut untuk 'kelentong' Bangsa Johor sekali lagi sedangkan rakyat Johor masih ingat pembohongan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“PRN Johor tidak beri kesan kepada mahkamah sebaliknya memberi kesan kepada yang pernah tipu rakyat dan mengkhianati undi rakyat dengan melompat parti selepas 9 Mei 2018.

Artikel Berkaitan:

“Ayuh bangsa Johor kali ini kita kasi 'jotos' parti politik yang pernah berbohong kerana 'lapo-kan' kuasa sehingga sanggup memperdayakan rakyat Malaysia dengan fitnah dan tipu daya,” ujarnya.