Sukar cari telur ayam, peniaga naikkan harga makanan

Peniaga mendakwa terpaksa menggunakan telur berkualiti tinggi untuk berniaga sehingga menyebabkan harga telur bermasak meningkat sekali ganda. Gambar hiasan
Peniaga mendakwa terpaksa menggunakan telur berkualiti tinggi untuk berniaga sehingga menyebabkan harga telur bermasak meningkat sekali ganda. Gambar hiasan
A
A
A

SIPITANG - Kesukaran mendapatkan bekalan bekalan telur ayam di daerah ini menyebabkan ada peniaga makanan terpaksa menaikkan harga telur yang dimasak daripada RM1 kepada RM2 sebiji.

Md Naquib Noor Ahmad, 39, mendakwa selain terpaksa membeli dengan harga jauh lebih mahal berbanding harga biasa, mereka terpaksa pergi ke sempadan negeri iaitu di Sindumin sejauh 15 kilometer bagi mendapatkan telur ayam berkenaan.

Md Naquib memerlukan sekurang-kurangnya dua papan telur setiap hari untuk perniagaan menjual char kuetiau namun sejak kebelakangan ini sukar untuk mendapatkan bahan utama itu.

Katanya, di beberapa pasar raya dan kedai sekitar daerah ini memang kekurangan bekalan bahan mentah itu menyebabkan peniaga makanan terjejas.

"Masalah kekurangan bekalan telur ayam ini berlaku sejak Januari lalu sehingga kami terpaksa masuk ke kedai runcit di ceruk kampung atau ke Sindumin hanya semata-mata mahu mendapatkan telur yang mencukupi untuk jualan sepanjang hari.

"Harga pula jauh lebih mahal dan mencecah antara RM16 hingga RM18 setiap papan kerana biasanya dijual mengikut harga sebiji telur ayam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Berikutan itu, Md Naquib berkata, peniaga makanan di beberapa kawasan di daerah ini terpaksa menaikkan harga telur bermasak kerana desakan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Md Naquib
Md Naquib

"Kami terpaksa bersatu hati dengan peniaga lain untuk seragamkan harga kepada RM2 sebiji kerana keadaan yang semakin meruncing untuk mendapatkan bekalan.

"Ada telur ayam yang kami guna tidak berkualiti tinggi menyebabkan harganya di kedai makan meningkat," katanya.

Seorang lagi peniaga burger, Nur Azila Taip, mengakui terpaksa mencari bekalan telur ayam di beberapa kedai sekitar daerah ini.

"Telur ayam sekarang ibarat satu bahan paling 'rare' kerana kesukaran untuk mendapatkannya malah setiap kali lori yang membawa bekalan telur ayam tiba, memang habis ditempah awal oleh peniaga lain.

"Jadi kami terpaksa memandu dan memasuki beberapa kampung untuk mendapatkan telur ayam dan kadang kala terpaksa meminjam telur rakan perniagaan yang lain jika tidak cukup ketika gerai beroperasi," katanya.

Nur Azila berkata, dengan keadaan itu menyebabkan peniaga terbeban kerana banyak kos terpaksa ditanggung hanya semata-mata mahu mendapatkan bahan mentah itu

Nur Azila berharap pihak berkaitan dapat melihat masalah yang dihadapi peniaga di daerah berkenaan.

Nur Azila
Nur Azila

"Kami berharap isu bekalan telur ayam dapat diambil perhatian kerana ia sangat membebankan peniaga seperti mereka yang terpaksa mencari bekalan di merata tempat bagi memastikan perniagaan terus beroperasi," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah memaklumkan bahawa isu kekurangan bekalan telur ayam memang berlaku di semua daerah ketika ini.

"Bagaimanapun, pembekal telur ayam dari Kota Kinabalu akan menghantar bekalan di pasar raya di Sipitang minggu hadapan,

"Kuantiti bekalan yang diterima ditentukan oleh pihak pembekal bergantung kepada pengeluaran di peringkat ladang," katanya.