Anwar berseloroh mahu bertanding PRN Johor

Anwar (tengah) bersama pimpinan PKR Johor ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pilihan Raya Negeri Johor di sini, pada Sabtu.
Anwar (tengah) bersama pimpinan PKR Johor ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pilihan Raya Negeri Johor di sini, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan dirinya antara calon yang memenuhi aspirasi parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan perkara demikian dengan nada berseloroh selepas memaklumkan kriteria-kriteria yang akan diambil kira oleh parti untuk pemilihan calon yang bakal bertanding.

“Kalau (calon) dari luar negeri saya sahaja lah, lain belum ada lagi. (Kriteria calon) Setakat ini ia mesti orang Johor yang ada keluarga di Johor, saya pun ada juga keluarga di sini (Johor).

“Tiadalah... saya gurau sahaja, saya tidak bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (PKR) Pilihan Raya Negeri Johor di sini, pada Sabtu.

Anwar berkata, pemilihan calon untuk PRN Johor kali ini akan mengambil pendekatan daripada pelbagai aspek selain kerjasama erat dan persetujuan rakan-rakan dalam komponen Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, perkara itu juga adalah termasuk dengan penawaran manifesto yang akan dilaungkan PKR dan PH dalam kempen-kempen PRN Johor.

“(Manifesto) perkara ini kita serahkan kepada negeri, tapi kalau boleh biar la isu yang realistik sebab nanti kalau lain ada pula bangkitkan ini bukan kitab suci. Paling utama kita mahu buat sesuatu yang kita yakin dan mahu laksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi PH berkata, parti juga kini sedang mengadakan rundingan yang lancar bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bersama-sama dalam PRN Johor.

“Kita ada bincang dengan Muda dan kita juga bersedia untuk beri ruang kepada mereka. Tentulah soal kerusi mana (Muda akan bertanding) kita harus bincang dahulu bersama rakan dalam PH.

“Jika diberikan kerusi itu mungkin akan sebahagiannya daripada DAP, sebahagian Amanah dan kita (PKR) juga. Berapa banyak (kerusi) kita tidak boleh maklum, tengok berapa yang mereka minta,” katanya.