Pelajar pulang bercuti Tahun Baharu Cina tidak dibenar kembali ke asrama

Keputusan itu dibuat sebagai usaha mengawal jangkitan Covid-19 yang lebih besar serta melindungi calon SPM. - Gambar hiasan
Keputusan itu dibuat sebagai usaha mengawal jangkitan Covid-19 yang lebih besar serta melindungi calon SPM. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, mereka sebaliknya perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai usaha mengawal jangkitan Covid-19 yang lebih besar serta melindungi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Hanya sebahagian kecil pelajar sahaja dibenarkan masuk ke asrama terlebih dahulu bagi memastikan kita dapat mengawal dengan baik jika berlaku jangkitan di asrama.

“Pelajar-pelajar juga perlu melakukan ujian kendiri pada hari pertama hadir ke asrama dan pada hari ke enam serta seterusnya pada hari ke 14.

“Ia adalah untuk memastikan kita dapat mengawal jangkitan di asrama dan KPM juga mengingatkan ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya mereka mempunyai gejala,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Radzi Jidin berkata, beliau ingin kongsikan perincian berkaitan dengan kluster dalam sektor pendidikan ini untuk memberikan satu perspektif yang lebih jelas kepada ibu bapa, anak-anak, guru-guru dan seluruh warga pendidik.

Tambah beliau, berdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh 1 Januari hingga 1 Februari 2022 terdapat 118,238 kes Covid-19 di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,451 adalah kes yang berkaitan kluster pendidikan dan selebihnya 109,787 adalah kes-kes dalam kluster lain dan juga kes sporadik dalam komuniti,” ujarnya.

“Secara keseluruhan daripada data adalah berkaitan dengan sektor pendidikan dan selebihnya kes-kes melibatkan pelbagai sektor lain serta kes yang ada dalam masyarakat.

“Berdasarkan rekod oleh KKM daripada 1 Januari hingga 1 Februari 2022 terdapat 303 kluster di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut 100 kluster melibatkan institusi pendidikan bawah KPM,” ujarnya.

Beliau berkata, manakala 86 kluster adalah daripada institusi pendidikan bukan dibawah KPM dan bakinya sebanyak 117 kluster melibatkan lain-lain sektor.

Jelasnya, jika dilihat 100 kluster institusi di bawah KPM melibatkan keseluruhannya 5,494 kes dan daripada 100 kluster ini, 96 kluster adalah melibatkan institusi di bawah KPM, manakala 4 kluster lagi adalah institusi swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Daripada 96 kluster yang melibatkan institusi bawah KPM, 84 kluster adalah terdiri daripada institusi Asrama,” katanya.

“Jika diambil kira jumlah institusi berasrama bawah KPM sebanyak 1,918 buah institusi dan 84 kluster ini adalah bersamaan dengan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM.

“Untuk institusi bukan asrama terdapat 12 kluster yang melibatkan sekolah menengah sebanyak 2 kluster dan juga sekolah rendah sebanyak 10 kluster,” katanya

Radzi Jidin berkata, berdasarkan data tersebut ia jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM adalah kluster yang berlaku di sekolah asrama iaitu 87.50 peratus daripada keseluruhan kluster.