Cadangan larangan merokok dapat kurangkan jumlah perokok

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

CADANGAN dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game di dalam akta baharu diharap dapat mengurangkan jumlah perokok di negara ini nanti.

Besar kemungkinan, larangan kepada generasi akan datang ini melibatkan golongan yang berusia 17 tahun hari ini.

Ini dapat dilihat menerusi kenyataan dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sesi ke-150 pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Geneva baru-baru ini.

“Malaysia ingin menekankan peranan tembakau dalam Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Kami seperti negara di Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) di negara lain, berharap dapat meluluskan undang-undang yang jika berjaya, akan melarang penjualan produk tembakau kepada sesiapa yang lahir selepas tahun 2005.

“Malaysia merasakan ia akan beri impak besar kepada NCD,” katanya dalam video yang dikongsikan di akaun Twitter miliknya.

Di samping itu, larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok ini juga diharap dapat mengurangkan jumlah kematian disebabkan penyakit berkaitan secara langsung dengan tabiat merokok.

Daripada statistik yang dikeluarkan KKM sebelum ini menyatakan bahawa 10,000 rakyat Malaysia yang mati setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan secara langsung dengan tabiat merokok.Menurut statistik itu juga, sejumlah 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Tabiat ini boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit terutama penyakit kanser paru-paru, tekanan darah tinggi, strok, penyakit jantung dan mati pucuk.

Artikel Berkaitan:

Gejala ini bukan sahaja membawa kemudaratan kepada perokok tetapi ia juga memberi kesan kepada orang di sekeliling mereka disebabkan asap rokok sekunder.

Selain daripada itu, larangan merokok ini juga memberi kesan baik yang lain seperti dari segi kos rawatan penyakit utama akibat merokok dapat dikurangkan dan diagihkan kepada aspek kesihatan lain.

Ini kerana pada 2018 lalu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad iaitu Menteri Kesihatan pada waktu itu mendedahkan bahawa kerajaan bakal menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025.

Beliau berkata, jumlah itu berdasarkan unjuran yang dibuat oleh KKM pada 2017, sekiranya kawalan tembakau di Malaysia tidak diperkukuhkan dan prevalen (lazim) merokok tidak berkurang.

“Akibat kesan komplikasi dan kadar kematian yang tinggi, merokok telah memberi kesan kepada ekonomi negara dalam pelbagai aspek termasuk beban kos yang tinggi bagi merawat penyakit akibat merokok, menjejaskan produktiviti akibat pekerja sering tidak sihat dan menyebabkan kerugian kepada negara akibat kematian pra matang,” katanya di Dewan Rakyat.