‘Komentar Shahril sahkan Ahmad Zahid tak layak jadi calon PM’

Wan Saiful Wan Jan - Foto Bernama
Wan Saiful Wan Jan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Komentar dibuat Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengesahkan parti itu merasakan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak layak menjadi calon Perdana Menteri.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menerusi hantaran di Facebooknya.

“Dalam kenyataan ini, Ketua Penerangan UMNO yang dilantik oleh Presiden UMNO mengatakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sendiri tidak mahu mencalonkan Zahid Hamidi untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya pada Jumaat.

Wan Saiful sebelum ini berkata, bahawa kumpulan yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ialah Bersatu, bukannya UMNO.

Bagaimanapun, Shahril selepas itu meminta Wan Saiful berhenti untuk menyemai benih kebencian dan menjadi ejen pemecah belah antara parti beliau dan UMNO.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mempersoalkan sekiranya Ahmad Zahid tidak layak menjadi Perdana Menteri, mengapa beliau menjawat jawatan Presiden UMNO.

“Kalau Presiden kamu tidak layak dicalonkan menjadi Perdana Menteri, kamu duduk sebagai Presiden Parti buat apa.

“Kalau kamu tahu Presiden kamu tidak layak jadi Perdana Menteri, yang kamu duduk sokong dia buat apa?Buatlah pemilihan UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan: