UMMAH sedia jadi penganjur pertemuan pemimpin politik Melayu

UMMAH menyokong usaha ini bagi memperkukuhkan perpaduan dan muafakat ummah.(Gambar kecil: Mohd Zai)
UMMAH menyokong usaha ini bagi memperkukuhkan perpaduan dan muafakat ummah.(Gambar kecil: Mohd Zai)
A
A
A

SHAH ALAM – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) melahirkan kesediaan untuk menjadi penganjur bersama bagi program pertemuan antara pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dicadangkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya menyokong usaha ini bagi memperkukuhkan perpaduan dan muafakat ummah.

“Semoga semua pihak sama ada pemimpin parti politik, NGO dan tokoh agamawan, kaum serta masyarakat segera berlapang dada dan bersedia untuk bermuzakarah ke meja rundingan demi memartabatkan perpaduan ummah bagi mempertahan Islam, Melayu dan tanah air demi masa depan anak cucu kita di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Annuar pada Khamis dilapor mencadangkan agar satu pertemuan antara pemimpin politik Melayu dan NGO Melayu Islam harus diadakan sebelum kedatangan PRU15 nanti.

Ini kerana pada pandangannya, tiada kumpulan yang berpecah berjaya mencapai kemenangan secara bersendiri melainkan melalui gabungan serta pakatan.

Mengulas lanjut, Mohd Zai menambah, sangat wajar perpaduan ummah diperkemaskan semula bagi mempertahankan hala tuju dan matlamat yang lebih besar bagi membina perpaduan yang akan menjamin masa depan negara.

“Ini berikutan mutakhir ini kelihatan semangat perpaduan ummah bagi menjadi benteng mempertahankan Islam dan Melayu di negara ini kian rapuh akibat daripada nafsu untuk berebut kuasa antara kelompok tertentu parti-parti politik.

“Kuasa politik Melayu Islam merupakan asas penting kepada kestabilan dan kemakmuran negara ini sebagaimana yang digariskan dalam perlembagaan persekutuan iaitu Islam agama persekutuan dan Melayu adalah kaum majoriti dalam negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Jika kuasa Islam dan Melayu tewas di negara ini, maka ini akan dan boleh menjadi penyebab kepada menggugat kestabilan dan kemakmuran negara,” ujarnya.