1,700 saman pandu laju di LPT2

Mohd Adli (tiga dari kanan) memantau kenderaan ketika mengetuai operasi bersepadu penguatkuasaan trafik di Hulu Terengganu.
Mohd Adli (tiga dari kanan) memantau kenderaan ketika mengetuai operasi bersepadu penguatkuasaan trafik di Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Polis mengeluarkan 1,700 notis saman atas kesalahan memandu melebihi had laju di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang enam hari Ops Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, masih ramai pengguna gagal mematuhi peraturan had laju ditetapkan pihak berkuasa.

“Kita melakukan pemantauan di dua lokasi strategik yang dikesan kerap berlaku kemalangan iaitu di LPT2 dan Kilometer 35 Kuala Berang-Ajil di sini yang merupakan jalan persekutuan.

"Jumlah notis saman dikeluarkan ini sebenarnya tinggi bagi kesalahan di laluan LPT2 yang terletak di daerah Hulu Terengganu,” katanya ketika mengetuai operasi bersepadu penguatkuasaan trafik di sini pada Jumaat.

Menurut Mohd Adli, setakat ini, sebanyak 13 kes kemalangan telah direkodkan berlaku sepanjang pelaksanaan Ops Selamat 17 namun ia tidak melibatkan kehilangan nyawa.

Sementara itu, Mohd Adli memaklumkan sebanyak 320 notis saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai jenis kesalahan sepanjang operasi itu diadakan bermula jam 4 petang, Khamis.

Jelas beliau, kesalahan paling banyak dikesan adalah penggunaan nombor plat kenderaan ‘fancy’ yang menyalahi peraturan jalan raya.

“Selain itu, kesalahan lain yang turut disaman adalah tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan gagal memantau lampu break ketiga menyala,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!