Lelaki mati dalam tahanan bukan disebabkan kekerasan

No Image Caption
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kematian seorang lelaki yang meninggal dunia selepas ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada Sabtu lepas, bukan disebabkan kekerasan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, perkara itu disahkan pakar patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang membuat pemeriksaan ketika bedah siasat dijalankan di hospital itu.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, kematian mangsa berusia 38 tahun yang dipercayai kurang siuman itu adalah disebabkan Excited Delirium Syndrome (ExDS) yang cenderung berlaku kepada pesakit mental.

"Laporan lengkap bedah siasat telah dikeluarkan pada Isnin lepas termasuk laporan pakar patologi untuk memastikan sebab kematian.

"Daripada laporan itu, didapati tiada sebarang jenayah kekerasan berlaku semasa tahanan dibuat," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Daerah di Kampung Orang Asli Ulu Bekor di sini pada Jumaat.

Sinar Harian pada Ahad lepas melaporkan, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menyiasat berkaitan kes seorang lelaki meninggal dunia selepas ditahan di sebuah rumah.

Lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa polis ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Penahanan terhadap lelaki itu dibuat selepas individu terbabit mengamuk dan menyerang bapanya serta dalam keadaan agresif bergelut di atas tanah bersama empat lelaki termasuk bapanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Omar Bakhtiar berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh keluarga mangsa pada Ahad.

Katanya, ahli keluarga pada awalnya tidak berpuas hati dengan kematian mangsa sebelum akhirnya akur dan menerima punca kematian yang disahkan oleh pakar.

"Kes ini telah diambil alih oleh USJKT JIPS Bukit Aman dan siasatan masih lagi berjalan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berharap pelaksanaan program HPP ke perkampungan orang asli dapat merapatkan jurang kerjasama antara masyarakat itu dengan polis dalam usaha membanteras jenayah.

Omar Bakhtiar (tengah) bersama Tok Batin Kampung Ulu Bekor, Uda Awai Busu Kechek dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Asisten Superintendan A Nirmala melihat kraftangan dihasilkan penduduk orang asli yang dipamerkan sempena progran HPP.
Omar Bakhtiar (tengah) bersama Tok Batin Kampung Ulu Bekor, Uda Awai Busu Kechek dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Asisten Superintendan A Nirmala melihat kraftangan dihasilkan penduduk orang asli yang dipamerkan sempena progran HPP.

Jelasnya, kebanyakan kawasan penempatan orang asli berada jauh di pedalaman, maka kerjasama erat terutama dalam menyalurkan maklumat dapat membantu pihak berkuasa menangani kes jenayah dengan lebih cekap dan cepat.

"Dalam daerah Kuala Kangsar hanya terdapat dua perkampungan orang asli iaitu di Ulu Bekor dan Bukit Cermin, setakat ini keadaan adalah terkawal tanpa sebarang jenayah serius berlaku," katanya.