Adakan pertemuan pemimpin politik Melayu, NGO Melayu sebelum PRU

Annuar menyampaikan ucapan pada sesi lawatan kerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan, di Wakaf Che Yeh pada Khamis. - Foto Bernama
Annuar menyampaikan ucapan pada sesi lawatan kerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan, di Wakaf Che Yeh pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Satu pertemuan antara pemimpin politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam harus diadakan sebelum kedatangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang melihat pertemuan itu penting bagi menentukan hala tuju masing-masing.

Ini kerana pada pandangannya, tiada kumpulan yang berpecah berjaya mencapai kemenangan secara bersendiri melainkan melalui gabungan serta pakatan.

“Saya ingin mencadangkan parti-parti politik Melayu, pemimpin-pemimpin NGO Melayu harus mengadakan pertemuan sebelum PRU15 supaya kita menentukan hala tuju kita ke mana, sebab ini bukan nasib satu dua pemimpin, ini nasib umat rakyat dan sekali kita silap akan hancur seluruhnya dan ini benda yang serius,” katanya di sini pada Khamis.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia merupakan individu yang sebelum ini turut berperanan dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembentukan MN merupakan usaha yang dilakukan sekian lama bermula dari bawah hinggalah ke peringkat tertinggi yang dimeterai piagamnya melalui keputusan di Perhimpunan Agung bagi pihak UMNO dan Muktamar serta Majlis Syura bagi pihak Pas.

Ianya melalui satu proses dan perundingan yang sangat panjang sehingga kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kemarau seteru sehingga sebahagian besar penyokong kedua-dua parti gembira dengan penyatuan itu.

“Oleh kerana MN diputuskan oleh Muktamar Pas dan Perhimpunan Agung UMNO maka biarlah Muktamar dan Perhimpunan Agung menentukan.

Artikel Berkaitan:

“Selagi Muktamar dan Perhimpunan Agung tak buat apa-apa, pada saya MN masih wujud masih kekal," katanya lagi.

Mutakhir ini pelbagai kenyataan dilontarkan yang menjurus ke arah ketegangan antara Pas dan UMNO.

Annuar berkata, dalam hal ini, beliau meminta mereka yang tidak terlibat dalam pembentukan MN berhenti bercakap.

Sebaliknya biarlah pucuk pimpinan masing-masing yang membuat kenyataan.

Kata Annuar, ini kerana MN dibentuk melalui dua perhimpunan maka biarlah perjalanan dan hayat MN ditentukan juga melalui Muktamar Pas dan juga Perhimpunan Agung UMNO.

Tegasnya bergaduh itu mudah namun untuk berdamai ianya sukar.

Annuar juga berharap MN kekal pada rohnya, bentuknya dan matlamatnya.

Badan Perhubungan UMNO Kelantan bulan lalu membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan Pas Kelantan dalam MN serta meletakkan hala tuju bergerak sendirian pada PRU15 nanti. - Awani