Wanita warga emas rugi RM52,300 terjerat cinta lelaki AS

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Akibat terjerat dengan sindiket Love Scam, seorang wanita warga emas terpaksa berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM52,300 lesap.

Mangsa yang merupakan pesara berusia 74 tahun itu dikatakan terpedaya dengan penipuan terbabit selepas menerima pesanan dan berhubung dengan lelaki dikenali Nelson Michael melalui Facebook pada 18 Disember tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, sepanjang perkenalan itu, mangsa tidak pernah berjumpa dengan

suspek yang mengaku dari Amerika Syarikat serta mendakwa bekerja dalam bidang cari gali minyak di Miri, Sarawak.

"Selepas sebulan perkenalan itu, suspek mahu meminjam wang daripada mangsa. Suspek mengatakan keinginannya untuk berkahwin dengan mangsa sekiranya permintaan tersebut dipenuhi.

"Susulan itu mangsa telah melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek yang berjumlah RM52,300 sehingga Isnin lalu (31 Januari)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, selepas melakukan pemindahan wang, suspek tidak lagi menghubungi mangsa sehingga ke hari ini.

Susulan itu katanya, mangsa merasakan diri ditipu telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir menambah, modus operandi suspek adalah dengan berkenalan dan menjalinkan hubungan dengan mangsa melalui Facebook sehingga wanita berkenaan memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan.

"Suspek juga akan menggunakan kata-kata manis termasuk mahu mengahwini mangsa semata-mata untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.