30,000 mangsa banjir di Selangor masih mengharap bantuan

Amirudin memberi jaminan bahawa bantuan kepada mangsa banjir dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung Februari ini. - Foto Bernama
Amirudin memberi jaminan bahawa bantuan kepada mangsa banjir dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung Februari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SUDAH lebih sebulan Malaysia berhadapan situasi banjir terburuk yang melanda beberapa buah negeri bermula penghujung Disember tahun lalu.

Kejadian itu bukan hanya menyebabkan kemusnahan harta benda tetapi turut berkait rapat dengan emosi.

Ramai yang terpaksa menerima hakikat bahawa segala-galanya musnah dengan sekelip mata dan yang pastinya sejumlah wang yang besar diperlukan untuk membaik pulih segala kehancuran akibat banjir.

Selain itu, banyak keperluan asas yang perlu dibeli dan diganti untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan berjumlah RM1,000 kepada keluarga yang terlibat banjir menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Bagaimanapun, sehingga hari ini ramai mangsa banjir yang mengadu bahawa mereka masih belum menerima bantuan yang dijanjikan.

Susulan itu, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor pada Khamis menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohd Izzat Latif di hadapan pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Mereka menganggarkan sejumlah 30,000 mangsa banjir belum menerima bantuan BSB daripada kerajaan negeri Selangor dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan Persekutuan walaupun selepas lebih sebulan banjir melanda.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Nazilah Idris turut menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari segera menjelaskan mengenai kelewatan dalam pengagihan kedua-dua bantuan itu.

Namun begitu, beliau mengakui tidak mendapat jumlah data yang tepat mengenai jumlah penerima tercicir daripada menerima dua bantuan yang diuruskan oleh kerajaan negeri berkenaan.

Justeru, Nazilah memberi tempoh sehingga hujung bulan Februari kepada kerajaan negeri untuk mengagihkan keseluruhan bantuan BWI dan BSB kerana ramai mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan tersebut untuk memulakan semula kehidupan mereka.

Susulan itu, akaun media sosial Amirudin dibanjiri dengan keluhan dan aduan mangsa banjir yang mengharapkan bantuan kerajaan negeri hingga akhirnya beliau tampil memohon maaf susulan kelewatan penyerahan BSB kepada mangsa banjir terutamanya di daerah Klang dan Petaling yang paling terjejas.

Amirudin berkata, kelewatan itu disebabkan terdapat tambahan permohonan yang tinggi di daerah berkenaan dengan Klang sahaja merekodkan 77,000 permohonan.

Katanya, Pejabat Daerah kini dalam peringkat akhir pemutihan data untuk mengelakkan pertindihan serta memastikan kesaksamaan dan keadilan bantuan kepada mangsa.

Bagi daerah Klang, masih terdapat baki 30,000 permohonan yang masih belum diselesaikan manakala bagi daerah Petaling terdapat baki 10,000 hingga 12,000 permohonan belum diproses.

Beliau sudah mengarahkan Pegawai Daerah lain untuk bantu mempercepatkan proses di Klang, dalam usaha menggandakan pemberian bantuan kepada 2,000 hingga 3,000 penerima setiap hari.

Mangsa banjir yang belum menerima bantuan tunai tersebut boleh menarik sedikit nafas lega apabila Amirudin memberi jaminan bahawa bantuan dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung Februari ini.