PPV Simpang Empat mudahkan penduduk dapatkan dos penggalak

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Komuniti Simpang Empat Permatang Buluh di sini diharap dapat memudahkan penduduk di daerah Seberang Perai Utara (SPU) mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 mereka, memandangkan masih ramai yang belum berbuat demikian.

Pengurus PPV itu, Dr Janira Kumari berkata, PPV yang menawarkan antara 1,000 hingga 1,500 suntikan setiap hari itu, pada mulanya akan dibuka bagi tempoh sebulan untuk dos penggalak.

Bagaimanapun katanya, tempoh itu dipanjangkan sehingga tiga bulan susulan bermulanya program suntikan vaksin untuk kanak-kanak pada Khamis.

"Hari ini merupakan hari pertama pembukaan, sambutan masih kurang berikutan orang ramai masih bercuti, namun pihak kami telah menghubungi 700 penerima suntikan dos penggalak semalam untuk memaklumkan janji temu mereka, malah kami juga mengambil beberapa alternatif lain bagi menguar-uarkan PPV ini,” katanya kepada ketika ditemui di PPV berkenaan pada Khamis.

Tinjauan mendapati orang ramai mula hadir di PPV itu, termasuk kaum Cina yang sedang bercuti sempena menyambut Tahun Baharu Cina.

Seorang penerima dos penggalak Ang Eng Hoe, 50, berkata, meskipun masih dalam sambutan perayaan, dia mengambil peluang untuk mendapatkan suntikan itu dan gembira kerana proses tersebut berjalan sangat cepat dan lancar.

"Tidak sampai 10 minit sudah dapat suntikan, berbanding dos pertama dan kedua vaksin yang memakan masa sejam hingga sejam setengah. Malah staf dan petugas di sini juga sangat bersopan santun melayan kami," kata peniaga itu yang tinggal di Bagan Ajam dekat sini.

Seorang lagi penerima dos penggalak, Salbiah Cik Mat, 52, berkata, dia berasa lega setelah akhirnya menerima suntikan dos penggalak secara jumpa terus di PPV itu.

Artikel Berkaitan:

Ibu tunggal dari Bagan Lebai Tahir itu berkata dia terlepas janji temu bulan lepas berikutan lokasi klinik menyediakan suntikan itu jauh dari rumahnya. - Bernama