Pas yakin dapat pecah tembok BN di Seberang Takir - Khazan

DUN Seberang Takir menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Khazan dan Ahmad Razif.
DUN Seberang Takir menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Khazan dan Ahmad Razif.
A
A
A

SEBERANG TAKIR - Calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat yakin mampu memecahkan tembok kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menurut Khazan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, keyakinan itu bersandarkan sokongan kuat yang diterima daripada pengundi khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

"Saya tahu BN tidak pernah kalah (di DUN Seberang Takir) tetapi kali ini kita (Pas) akan pastikan (BN) kalah.

"Saya optimis dengan melihat gelombang atau perubahan rakyat pada hari ini (yang menyokong Pas)," katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sivik Seberang Takir di sini pada Sabtu.

Khazan berpakaian baju Melayu hijau sebelum itu berarak bersama kira-kira 1,000 penyokong untuk ke pusat penamaan calon.

DUN Seberang Takir menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Khazan dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga penyandang kerusi sebelum ini.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar merupakan penyandang kerusi DUN Seberang Takir sejak 2008.

Beliau mendapat 9,340 undian ketika menentang Mohd Fazil Wahab daripada Pas yang mendapat 7,456 undi pada PRU14 lalu.

Bagaimanapun, pada PRN kali ini PN memutuskan untuk meletakkan Khazan bertanding di kawasan kubu kuat BN itu.

Khazan sebelum ini pernah menjadi ADUN ketika bersama BN sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!