30,000 didakwa belum terima bantuan BSB, BWI

Nazilah
Nazilah
A
A
A
SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor menganggarkan sejumlah 30,000 mangsa banjir belum menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan di negeri itu.

Bantuan dimaksudkan ialah Bantuan Selangor Bangkit (BSB) daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan Persekutuan walaupun selepas lebih sebulan banjir melanda.

Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Nazilah Idris sehubungan itu menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari segera menjelaskan mengenai kelewatan dalam pengagihan kedua-dua bantuan itu.

"Ya, saya difahamkan begitu tetapi (bantuan mangsa banjir termasuk BWI) diberi kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan jadi tanggungjawab itu sepatutnya dibuat oleh kerajaan negeri.

"Kita sekarang, apa yang berlaku hari ini dalam politik negara apabila kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan tidak sama (maka) inilah jadinya," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohd Izzat Latif di hadapan pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Ketika ditanya dari sumber mana data 30,000 jumlah penerima masih belum menerima bantuan diperoleh, beliau hanya menjelaskan daripada 'orang' yang menguruskan data bantuan di pejabat-pejabat daerah.

Namun demikian beliau mengakui tidak mendapat jumlah data yang tepat mengenai jumlah penerima tercicir daripada menerima dua bantuan yang diuruskan oleh kerajaan negeri berkenaan.

Sehubungan itu, Nazilah memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada kerajaan negeri untuk mengagihkan keseluruhan bantuan BWI serta BSB kerana ramai mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan tersebut untuk memulakan semula kehidupan mereka.
Artikel Berkaitan:


Dalam masa sama, Gabungan NGO Selangor turut mencadangkan satu sesi dialog diadakan antara pihak mereka dan kerajaan negeri yang diwakili Menteri Besar untuk menyelesaikan banyak isu yang berlaku di Selangor.

"Insya-ALLAH jika ada satu sesi dialog tersebut kita akan kemukakan banyak lagi isu dalam negeri Selangor," kata Nazilah.