Maut selepas hantar ibu rawatan dialisis

Keadaan dua kenderaan terlibat kemalangan di Jalan Penambang, pada Khamis.
Keadaan dua kenderaan terlibat kemalangan di Jalan Penambang, pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang pembuat batik maut selepas menghantar ibunya menjalani rawatan dialisis selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian berdekatan stesen minyak di Jalan Penambang, Pantai Cahaya Bulan (PCB), pada Khamis.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, Muhammad Sayuqi Razali, 32, dari Kampung Kijang memandu kereta jenis Perodua Viva dari arah Kota Bharu ke PCB difahamkan turut terkena serangan jantung.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kenderaan dipandu mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan di kawasan berkenaan dan memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, ketika itu terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Persona dipandu lelaki berusia 49 tahun dari arah PCB menghala ke Kota Bharu untuk menghantar isterinya bekerja.

“Mengikut siasatan awal, kenderaan dipandu mangsa bergerak lurus di laluannya dan dia tidak sempat mengelak lalu berlanggar secara berdepan,” katanya kepada Sinar Harian, pada Khamis.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Beliau berkata, pemandu kereta Proton Persona berkenaan pula patah peha dan tangan kiri termasuk patah tulang rusuk kanan manakala isterinya pula luka di kepala serta sakit di bahagian pinggang.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Syukri Md Ghafar di talian 09-7752200.

Artikel Berkaitan: