Anak Kapten AA peroleh pasport, dijangka berlepas ke Muscat

SHAH ALAM - Tiga anak pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA akhirnya memperoleh pasport selepas urusan dengan Kedutaan Besar Malaysia selesai.
Perkembangan itu dikongsikan pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi satu hantaran di Threads, @saifulnan.
Dalam hantaran sama, Saiful Nang turut memuat naik video memaparkan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan memegang passport bersama pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.
"Anak-anak Akhmal Asyraf dah dapat pasport.
"Esok pagi kalau dapat flight @omanairofficial terbang pagi sampai Muscat tengahari esok. Ramai santuni mereka di Imigresen," ujarnya pada Sabtu.
Sebelum ini, Kapten AA, meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.
Pemergian Allahyarham meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga, terutama adiknya, Amal Mohd, yang kehilangan satu-satunya abang dan teman membesar sejak kecil.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Amal meluahkan rasa kehilangan terhadap insan yang selama ini berkongsi pelbagai kenangan bersamanya, selain menyatakan keluarga reda dengan pemergian Allahyarham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

