'Tiada yang mustahil dengan kuasa ALLAH'

Syakila Norazma Amira dan suami, Muhammad Azri bersama bayi sulung mereka ketika ditemui di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.
Syakila Norazma Amira dan suami, Muhammad Azri bersama bayi sulung mereka ketika ditemui di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tiada yang mustahil dengan kuasa ALLAH SWT. Itu luahan wanita kerdil, Syakila Norazma Amira Zuharsema, 28, yang selamat melahirkan bayi sulung seberat 2.35 kilogram (kg) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 25 Januari lalu.

Bayi lelaki dinamakan Muhammad Ayden Adrian dilahirkan secara pembedahan sebulan lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada 25 Februari depan.

"Saya sendiri tidak percaya mampu mengandung dan melahirkan bayi kerana fizikal yang tidak sama seperti individu lain yang normal.

"Saya bersyukur sangat sebab sepanjang proses kehamilan dan melahirkan bayi, saya tiada mengalami sebarang masalah, cuma memerlukan pemantauan lebih rapi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Pengkalan Ajal di sini.

Syakila Norazma Amira atau lebih mesra digelar Yaya kini berpantang dan dijaga ibu mentuanya, Rohaya Megat Hamid, 53.

"Tiada apa yang mampu diucapkan, saya bersyukur dan berterima kasih kerana dikurniakan suami yang penyayang, keluarga yang banyak menyokong terutama ibu yang membantu saya sepanjang kehamilan dan bersalin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Gambar perkahwinan Syakila Norazma Amira dan suami yang dirakam pada 18 Mac 2021.
Gambar perkahwinan Syakila Norazma Amira dan suami yang dirakam pada 18 Mac 2021.

Kisah perkahwinan Syakila Norazma Amira yang merupakan seorang wanita kerdil seberat 18kg dengan ketinggian 118 sentimeter (cm) dan suaminya, Muhammad Azri Zaidi, 20, sebelum ini tular di media sosial.

"Saya akui ada menerima banyak komentar daripada warganet termasuk yang mempersoalkan sama ada saya mampu atau tidak melahirkan zuriat.

"Waktu itu, saya hanya pasrah dan berserah pada ALLAH SWT. Bagi saya, tiada apa yang mustahil jika diizinkan ALLAH SWT," katanya yang mula hamil pada Jun tahun lalu.

Syakila Norazma Amira dan suami melangsungkan perkahwinan pada 18 Mac 2021 selepas berkenalan menerusi permainan dalam talian, PUBG.

Pasangan itu dikenali ramai melalui video dimuat naik melalui aplikasi TikTok serta Instagram yang memaparkan perjalanan kehidupan mereka.