PKR masih dapat sokongan rakyat, terima 78,093 permohonan baharu

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa partinya itu masih lagi mendapat sokongan daripada rakyat untuk terus memacu politik dan kepimpinan negara.

Beliau berkata, ia berikutan parti tersebut telah menerima sebanyak 78,093 permohonan ahli baharu setakat penutupan pendaftaran pada Isnin.

“Angka ini diterima PKR sejak 24 November 2021 yang lalu. Penyertaan dengan jumlah yang begitu besar ini menunjukkan PKR terus mendapat sokongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua ahli yang didaftarkan itu akan dibentangkan kepada Cabang untuk proses semakan, malah bantahan juga turut dibuat sebelum senarai nama tersebut dimasukkan dalam Daftar Anggota Induk Parti.

Menurutnya, kesemua bantahan yang dikemukakan akan diproses dan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

“Proses ini akan dibuka bermula 3 Februari 2022 sehingga 9 Februari 2022. Jika terdapat bantahan pada senarai anggota baharu yang dibekalkan, Cabang boleh kemukakan bantahan kepada Pejabat Setiausaha Agung sebelum atau pada 9 Februari 2022.

“Keputusan MPP ke atas setiap bantahan yang diterima adalah muktamad,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin turut memaklumkan bahawa PKR akan mengeluarkan Daftar Anggota Induk yang lengkap seawal 18 Februari ini, kemudian diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti bagi melengkapkan Daftar Pemilih untuk kegunaan Pemilihan Parti.

Artikel Berkaitan: