Tiga ditahan pandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, dadah

Polis menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan berkaitan dadah di lokasi berasingan sekitar Negeri Sembilan pada Isnin.
Polis menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan berkaitan dadah di lokasi berasingan sekitar Negeri Sembilan pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan berkaitan dadah di lokasi berasingan sekitar Negeri Sembilan menerusi Op Ambang Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di Jalan Lingkaran Tengah di sini kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had iaitu 50 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.

"Seorang individu berumur 30 tahun pula ditahan di lokasi sama kerana mempunyai rekod individu dikehendaki pada 2016 berkaitan kes dadah manakala seorang lagi dalam lingkungan 30-an ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan di Jempol kerana positif dadah jenis metampethamine,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Shafiei berkata, kesemua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Balai Polis Jalan Campbell untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu beliau berkata, operasi bermula jam 8 malam itu melibatkan pemeriksaan terhadap 497 individu dan 449 kenderaan pelbagai jenis dengan kebanyakan saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran.

"Tiada lesen memandu merekodkan 90 kesalahan, nombor pendaftaran (68), tiada lesen kenderaan motor (48). Selain itu, sebanyak 22 notis dikeluarkan terhadap kesalahan teknikal iaitu ubah suai ekzos dan 15 notis bagi cermin sisi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: