JPJ keluar 17,620 saman Op Tahun Baharu Cina

Zailani (tengah) bersama Shafien (kiri) memeriksa ketebalan bunga tayar sebuah bas ekspres dalam Operasi Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Lembah Sireh, Kota Bharu pada Isnin.
Zailani (tengah) bersama Shafien (kiri) memeriksa ketebalan bunga tayar sebuah bas ekspres dalam Operasi Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Lembah Sireh, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 17,620 saman membabitkan sembilan kesalahan utama melanggar undang-undang jalan raya dalam tempoh lima hari perlaksanaan Operasi Tahun Baharu Cina 2022 bermula Selasa lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sebanyak 2,328 daripadanya merupakan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikesan menerusi imej kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara.

“Dalam tempoh operasi mulai 25 Januari 2022 sehingga 30 Januari 2022, sejumlah 67,265 kenderaan diperiksa dan sejumlah 24,708 kenderaan diambil tindakan kerana melanggar Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

“Pada tempoh sama, sejumlah 15,292 saman dikeluarkan selain 2,328 saman ke atas kenderaan yang dipandu melebihi had laju selepas dikesan menerusi 45 kamera AES di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi.

Beliau berkata, turut dikeluarkan 568 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) selain terdapat 16 kes kesalahan pelanggaran Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan turut dikenakan tindakan.

“Penguatkuasaan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan termasuk muatan berat atau lori berkuat kuasa pada 30 Januari 2022 dan 31 Januari 2022 dan pada 3 Februari 2022 serta 4 Februari 2022.

“Larangan ini dikecualikan kepada kenderaan barangan perkhidmatan perlu seperti makanan dan ubat-ubatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, lebih 2,200 pegawai dan anggota JPJ menjalankan penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Konsesi Plus Sdn Bhd.

“Bagi memastikan keberhasilan objektif operasi dalam mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya, JPJ melaksanakan Pelan Tindakan Taktikal Utama iaitu pemeriksaan bas di terrminal awam dan penyamaran sebagai penumpang, penguatkuasaan khas motosikal, rondaan menggunakan Dash Cam Enforcement Action Camera (EAC), Mesin Penimbang Mudah Alih, Smart Enforcement Device (SmED) dan aset lain yang berkaitan.

“Penguatkuasaan dijalankan ke atas sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan dan kematian iaitu memandu melebihi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan membawa lebih muatan serta bahaya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JPJ mengesan satu kes menerusi penyamaran sebagai penumpang bas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu yang melakukan kesalahan memandu di lorong kanan sepanjang masa dan empat kes pemandu bas positif dadah.

“Pemandu berkenaan memandu bas sepanjang perjalanan di lorong kanan saja. Ini adalah satu bentuk kesalahan yang tidak patut berlaku kerana sepatutnya lorong kanan hanya untuk memotong saja.

“Pengusaha syarikat pengangkutan awam bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan awam mereka khususnya bas ekspres selamat sampai ke destinasi yang di tuju,” katanya.